PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes SPRM.
SPRM dalam satu kenyataan, lelaki tersebut, Mohd. Hussein Mohd. Nasir, 54, yang juga dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ mempunyai alamat terakhir di No. 3, Lorong 3 RRM Semambu, Kuantan, Pahang.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Asyraf Mustafa di talian 013-4405210,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan seorang pegawainya dan tiga lagi individu termasuk seorang wanita pada Khamis lalu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan kes program Jana Wibawa.
Wanita berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala tiga lagi suspek sedang berada dalam reman hingga hari ini.
SPRM juga dikatakan sedang mengesan seorang lelaki dikenali ‘Datuk Roy’ yang dipercayai perancang utama dalam kes rasuah melibatkan siasatan kes berkenaan.
Lelaki itu sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penangkapan yang dilakukan itu. – UTUSAN