KUALA LUMPUR: Seorang hos sukarela sebuah kelab komedi mendakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Siti Nuramira Abdullah menyentuh isu agama ketika membuat persembahan komediri (stand up comedy) sehingga mengejutkan pengunjung premis itu.
Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, mendakwa, wanita tersebut menggunakan kata-kata kesat sehingga menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan pengunjung menyebabkannya terpaksa meneutralkan keadaan.
Menceritakan kejadian yang berlaku pada 4 Jun 2022, saksi pendakwaan pertama itu berkata, dia dimaklumkan ada pasangan bernama Alex dan Amira (Amy) yang memperkenalkan diri sebagai suami isteri berhasrat membuat persembahan.
Ujar pereka grafik itu, selaku hos di Crack House Comedy Club, dia selalunya akan mengingatkan pihak yang membuat persembahan agar tidak menyentuh `3 R’ iaitu tiga isu berkaitan agama, bangsa dan raja.
Muhammad Asyraf berkata, walaupun peraturan itu tidak bertulis, dia mengambil maklum mengenainya sewaktu mengasah bakat membuat persembahan komediri di kelab berkenaan.
“Siti Nuramira pada mulanya memperkenal diri sambil menyatakan dia menghafal 15 juzuk al-Quran. Tanpa semena-mena, dia membuka tudung dan baju kurungnya sambil mengutarakan kata-kata kesat.
“Saya tidak pernah menyaksikan kejadian seperti ini lebih-lebih lagi ketika persembahan `live’ dan ia berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Persembahan komediri biasanya melibatkan lawak jenaka, namun yang ini tiada lawak langsung, ” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.
Abdul Malik kemudian memohon rakaman video berdurasi dua minit berhubung kejadian yang didakwa berlaku, ditayangkan kepada mahkamah.
Menjawab soalan Abdul Malik, Muhammad Asyraf menyatakan, sebelum persembahan bermula, dia turut mengingatkan pengunjung agar tidak membuat rakaman bagi mengelakkan sebarang `footage’ disalah guna.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Siti Nuramira, 27, atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di Crack House Comedy Club, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun 2022.
Siti Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa atas pertuduhan pindaan membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.
Rakaman video kejadian itu tular di media sosial kerana didakwa mencetuskan kontroversi tidak bermoral yang membawa kepada pendakwaan terhadapnya pada 13 Julai 2022.
Pegawai eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Ketika disoal balas oleh peguam R. Sivaraj, saksi menyatakan isu bangsa dan agama bernada komedi pernah dipersembahkan di kelab komedi tersebut. Dia turut bersetuju bahawa kelab komedi itu merupakan premis persendirian dan pengunjung mengetahui persembahan adalah bersifat komediri.
Pada prosiding tersebut, Sivaraj turut memohon rakaman video itu diberikan kepada pihak pembelaan bagi membolehkan ia diteliti sebelum pemeriksaan balas dilakukan.
Sebelum sesi soal balas, Sivaraj membangkitkan isu berhubung kehadiran pengasas dan pemilik bersama Crack House Comedy Club, Ryzal Van Geyzel di dalam mahkamah ketika saksi pendakwaan pertama memberi keterangan.
Pihak pembelaan membantah kehadiran lelaki itu kerana beliau merupakan pengadu kes. Bagaimanapun, Abdul Malik memohon maaf atas perkara itu atas dan memberi jaminan ia tidak akan berulang.
Hakim Norhasniah Ab. Razak kemudian meminta pihak pendakwaan mengambil perhatian atas perkara tersebut sebelum menangguhkan prosiding hingga esok. – UTUSAN