SIS Forum gagal cabar fatwa isytihar sesat

SIS Forum gagal cabar fatwa isytihar sesat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi menolak rayuan rayuan Sisters In Islam Forum (Malaysia) (SIS Forum) untuk membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.

Keputusan 2-1 itu dibacakan pada prosiding yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat dan dijalankan secara dalam talian.

Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk M Gunalan. Hakim Gunalan menentang terhadap keputusan majoriti tersebut.

Bagaimanapun, panel terbabit membenarkan permohonan peguam, Datuk Malik Imtiaz untuk menangguhkan sementara perlaksanaan fatwa tersebut sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Turut serta dalam prosiding terbabit ialah peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor; Yusfarizal Yussoff bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib @ Hamid mewakili kerajaan negeri Selangor.

Terdahulu ketika membaca penghakiman majoriti, Hakim Che Mohd. Ruzima menyatakan, rayuan SIS Forum tidak mempunyai sebarang merit.

Selain itu, keputusan majoriti itu juga mendapati tiada sebarang kekhilafan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mahkamah Rayuan campur tangan.

Pada 27 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah.

Selain itu, Hakim itu juga menyatakan isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Sementara itu, ketika membaca penghakiman menentangnya, Hakim Gunalan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman (judicially appreciate) bahawa responden pertama (Jawatankuasa Fatwa) telah bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Panel terbabit tidak membuat arahan mengenai kos.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang membuat arahan melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi supaya menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘company limited by guarantee’ tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya