Kebakaran hutan makin menghampiri ibu negara baharu Indonesia

Kebakaran hutan makin menghampiri ibu negara baharu Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kebakaran hutan mula merebak berhampiran ibu negara baharu Indonesia yang sedang dalam pembinaan, mendorong pegawai projek menggesa agensi mitigasi bencana menjalankan operasi pembenihan awan dan pengeboman air.

Indonesia meningkatkan usaha membendung jerebu di enam wilayah yang paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah di pulau Borneo dan Sumatera, yang setakat ini meliputi kawasan seluas 73,311 hektar.

Kebakaran hutan berlaku di beberapa lokasi di Pulau Borneo, namun bahagian timur yang menempatkan ibu negara baharu, Nusantara, agak selamat sejak beberapa minggu lalu ketika kebakaran mula bertambah buruk susulan bermulanya musim kemarau pada Julai.

Bagaimanapun, kebakaran kini merebak ke beberapa kawasan sekitar ibu negara itu, sekali gus mendorong permintaan supaya tindakan segera diambil daripada berkuasa yang mengawasi projek berkenaan, kata Pengarah Tindak Balas Kecemasan Agensi Mitigasi Bencana, Agus Riyanto.

Pasukan tindak balas dan mitigasi bencana Indonesia kini berdepan musim kemarau paling mencabar dalam tempoh sedekad, diburukkan lagi oleh fenomena El Nino.

Agus berkata, kebakaran terbesar di wilayah ibu negara baharu itu berlaku di taman hutan Bukit Suharto, yang dinamakan sempena nama bekas presiden Indonesia, dengan kira-kira 300 hektar kawasan terkesan.

Bukit Suharto terletak kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Nusantara, yang menempatkan beberapa projek utama dibangunkan sejak beberapa tahun lalu sebagai sebahagian daripada pembangunan ibu negara baharu itu.

Secara keseluruhan, kebakaran memusnahkan kira-kira 400 hektar kawasan sekitar Nusantara setakat 2 September.

Pendahulu Presiden Prabowo Subianto, Joko Widodo, pada 2019 mengumumkan rancangan membangunkan Nusantara sebagai ibu negara baharu bernilai AS$32 bilion (RM40 bilion) bagi menggantikan Jakarta di Pulau Jawa yang berdepan masalah kesesakan kronik, banjir dan penurunan tanah.

Bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan serta pengurangan peruntukan sejak Prabowo memegang jawatan pada 2024.

Pakar perancangan bandar, Wisnubroto Sarosa, berkata Nusantara bukan lokasi ideal untuk ibu negara baharu kerana dikelilingi hutan dan mempunyai bekalan air yang terhad.

Bagaimanapun, katanya, risiko kebakaran di kawasan itu lebih rendah berbanding wilayah barat dan tengah pulau berkenaan yang turut dikongsi Indonesia dengan Malaysia dan Brunei.

Pihak berkuasa berkata Indonesia kini mempunyai 53 pesawat yang menjalankan operasi pengeboman air dan pembenihan awan. Jepun turut menghantar pesawat serta anggota bagi membantu operasi berkenaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×