KUALA LUMPUR: Parti-parti politik lain perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mereka mungkin mendapat sumbangan dana dari luar negara.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gesaannya adalah wajar kerana parti lain belum mengisytiharkan sumber dana mereka.
“Mereka kata kita sahaja buat begitu, saya pasti dan yakin sebahagian besar sumber dana dan sokongan pemberian badan, korporat, individu dan sebagainya kemungkinan besar mendapat sumbangan dari luar negara.
“Tapi kita boleh isytihar, kita tak terima mana sumbangan selain dari Malaysia, kalau mereka berani tunjukkan, kalau beranilah, sebab pertuduhan ini seolah-olah kita sahaja sedangkan ia berlaku di semua parti,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, di sini hari ini.
Justeru, katanya, parti-parti terutama parti kerajaan perlu terbuka untuk mengisytiharkan sumber dana masing-masing.
“Kecuali kalau kata kami ada syarikat untung bilion-bilion ringgit dan tak perlu orang bantu, wallahualam. Tapi saya jangka tak ada satu parti pun ada syarikat. Kalau UMNO dulu ada syarikat, itu pun semua dah tak tahu pergi ke mana dah.
“Jadi, cabaran saya, kalau betul-betul serius, siasatlah pemimpin parti, terima atau tak terima dana itu kita serah kepada SPRM,” katanya. – UTUSAN










