'Setiap hari anggota SAR lalu lokasi Steven ditemukan' - Utusan Malaysia

‘Setiap hari anggota SAR lalu lokasi Steven ditemukan’

MAYAT Steven Tan Kim Huat dibawa turun dari Bukit Beruang, Melaka oleh trak polis tengah hari tadi untuk dihantar ke Hospital Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lokasi penemuan mayat seorang lelaki berusia 45 tahun, Steven Tan Kim Huat yang hilang ketika mendaki Bukit Beruang di sini sejak Selasa lalu, adalah di antara check point 0 dengan 1, iaitu di luar trek biasa dilalui pendaki.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, lokasi itu telah dilalui anggota mencari dan menyelamat (SAR) selama tiga hari operasi dijalankan, namun tidak menemukan mangsa.

Beliau berkata, mangsa berkemungkinan terjatuh dari trek mendaki memandangkan mayatnya ditemukan di kawasan curam yang terlindung dengan pelbagai pokok.

“Kita ada lalu tetapi mungkin tiada rezeki kita untuk jumpa dengan mangsa, sebab dia agak terlindung dengan pokok-pokok.

“Setiap hari kita (anggota SAR) lalu kawasan itu sejak hari pertama lagi, kita lalu kawasan itu. Mungkin kawasan itu agak besar dan tersorok sedikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, kemunculan dua ekor biawak bersaiz besar yang dianggap luar biasa dan kicauan kuat sekawan burung menjadi antara petanda awal kepada penemuan mayat Steven.

Tubuh badan mangsa ditemukan berhampiran anak sungai di trek pendakian terbiar yang dikatakan sudah lama tidak digunakan kira-kira pukul 10.25 pagi tadi, oleh dua pengamal paranormal.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya mendapati mayat tersebut adalah Steven, berdasarkan dokumen yang dijumpai bersamanya.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan penemuan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya