Selangor larang program Islam di rumah agama lain - Utusan Malaysia

Selangor larang program Islam di rumah agama lain

MOHD. ZAWAWI AHMAD MUGHNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melarang sama sekali penganjuran sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya mendapati wujud organisasi bukan kerajaan (NGO) aktif menganjurkan program berbentuk kefahaman dan nilai toleransi antara agama sejak kebelakangan ini.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau dan mengambil tindakan kepada pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan sejak sekian lama.

“Kesalahan itu mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan program Jom Ziarah yang merupakan projek syarikat Impact Malaysia tidak melibatkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan program itu bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata. 

Terdahulu, tular di media sosial mengenai ‘ajakan’ kepada golongan Muslim untuk menziarahi gereja namun Projek Impact Malaysia turut melibatkan rumah ibadat bagi agama lain termasuk ziarah masjid.

Jelas Mohd. Zawawi, kerajaan negeri sentiasa menghormati kemajmukan dan perbezaan agama yang ada.

“Justeru, setiap NGO perlu lebih berhati-hati dalam menganjurkan program yang melibatkan sensitiviti keagamaan. Jika terdapat sebarang kemusykilan, pimpinan NGO boleh merujuk kepada JAIS dan Jabatan Mufti bagi pertanyaan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri  berharap JAIS dan Jabatan Mufti dapat memberi kerjasama baik kepada semua pihak terutama berkaitan garis panduan program keagamaan di rumah ibadah agama lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya