Sanusi sekadar kritik Anwar, bukan berniat memfitnah

Sanusi sekadar kritik Anwar, bukan berniat fitnah

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, beliau sekadar mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya berniat jahat untuk memfitnah beliau ketika berucap dalam kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Muhammad Sanusi, 48, berpendirian, ucapannya dalam ceramah itu berdasarkan fakta benar bahawa Anwar dipecat daripada Kabinet dan UMNO pada 1998.

Dalam pernyataan pembelaannya, Muhammad Sanusi berkata, Anwar dipecat kerana melakukan perbuatan tidak bermoral yang menjadikannya tidak layak menjadi pemimpin negara mengikut kenyataan dikeluarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Plaintif selaku seorang politikus seharusnya berani bertanggungjawab atas fakta-fakta yang dinyatakan dan tidak tersinggung dengan teguran, saranan dan kritikan yang dibuat,” ujarnya menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan melalui Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 13 Februari lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, ucapan itu juga mengikut fakta bahawa Anwar disabitkan bersalah atas pertuduhan jenayah salah laku apabila Mahkamah Persekutuan membuat penemuan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu terbabit dalam perbuatan tidak bermoral.

“Ucapan itu adalah berdasarkan fakta yang benar setelah mengambil kira inti pati dan isi kandungan perintah pengampunan penuh dan serta merta yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ujar Muhammad Sanusi, dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), plaintif secara peribadi membuat pelbagai tohmahan ke atas parti lain bertanding yang mana tohmahan itu bukan saja dalam bentuk kritikan bahkan mengandungi fitnah dan tuduhan yang ekstrem.

“Plaintif tidak seharusnya menjadi seorang yang mudah tersinggung terutama ketika kempen pilihan raya memandangkan plaintif sendiri bersikap suka menuduh,” katanya.

Sementara itu, Anwar menerusi jawapan pembelaan yang difailkan pada Isnin lalu, berkata kenyataan yang didakwa oleh Dr. Mahathir bersifat dengar cakap semata-mata.

Anwar juga menegaskan beliau diampunkan sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong di mana tujuan dan kesan utama titah pengampunan diraja adalah untuk pemadaman penuh dan muktamad ke atas semua atau mana-mana keburukan terhadap plaintif berkenaan pertuduhan jenayah dan sabitan.

“Kesan undang-undang pengampunan diraja ialah memadamkan semua sabitan dan hukuman serta menghapuskan kesalahan lampau di sisi undang-undang.

“Plaintif adalah seorang yang tidak bersalah. Sebarang kenyataan lanjut yang dibuat berhubung perkara yang sama adalah fitnah yang boleh diambil tindakan tanpa mengambil kira perkara yang sama kekal dalam rekod kehakiman.

“Apa yang penting ialah akibat dan kesan kedudukan undang-undang selepas pemberian pengampunan penuh jika dibandingkan daripada pengampunan bersyarat,” katanya.

Pada 13 Disember 2022, Anwar, 76, selaku plaintif memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi, 49, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 November 2022, Muhammad Sanusi memberi ucapan pilihan raya pada ceramah itu sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Pada 16 November 2022, Anwar melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif.

Namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Disember 2022 membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan itu.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×