Saman 8 negeri, tuntut isytihar tukar agama unilateral tak sah - Utusan Malaysia

Saman 8 negeri, tuntut isytihar tukar agama unilateral tak sah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Guru tadika, M. Indira Gandhi, sebuah pertubuhan agama dan 12 individu memohon agar beberapa peruntukan enakmen di lapan buah negeri berhubung penukaran agama kanak-kanak secara unilateral (sebelah pihak) sebagai tidak sah.

Permohonan tersebut dibuat melalui saman pemula yang difailkan melalui firma guaman, Tetuan Raj & Sach pada 3 Mac lalu.

Selain Indira, plaintif terdiri daripada Pertubuhan Agamam Ani; bekas Pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), S. Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team (Ingat), D. Arumugam.

Turut menjadi plaintif ialah beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa kepada penukaran agama secara unilateral.

Kesemua plaintif menamakan Kerajaan Negeri Perlis, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan selain Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Menurut afidavit yang difailkan, plaintif menyatakan semua penukaran unilateral yang telah berlaku di Malaysia dari tarikh keputusan Indira adalah terbatal kerana melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam manakala pasa­ngannya bukan beragama Islam mesti memberi persetujuan penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak Indira secara satu pihak oleh bekas suami­nya, Muhammad Riduan Abdullah, (dahulu dikenali sebagai K. Pathmanathan), yang merupakan seorang mualaf.

Menurut plaintif, dengan keputusan Indira, sebarang penukaran kanak-kanak bawah umur kepada mana-mana agama secara unilateral tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapanya adalah tidak berperlembagaan.

“Bagaimanapun beberapa kerajaan negeri masih mengamalkan penukaran agama Islam secara unilateral kepada kanak-kanak melalui enakmen negeri,” jelas plaintif dalam afidavit terbabit.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 5 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.