S.M. Faisal, Emilia setuju runding selesai kes

S.M. Faisal, Emilia setuju runding selesai kes

EMILIA Hanafi (tengah) diiringi peguam pemerhatinya hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes S.M. Faisal S.M. Nasimuddin yang didakwa mencederakannya. -  UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemelut yang berlarutan di antara ahli perniagaan, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin dan bekas isterinya Emilia Hanafi dijangka berakhir apabila kedua-dua pihak bersetuju berunding secara serius bagi mencapai penyelesaian global melibatkan kes jenayah dan tuntutan di Mahkamah Syariah.

S.M Faisal kini dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Emilia manakala kes syariah melibatkan tuntutan mutaah dan harta sepencarian kedua-duanya.

Ketika prosiding di hadapan Majistret Nadia Othman hari ini, Nazri Yahya selaku peguam pemerhati bagi pihak Emilia (pengadu kes) memaklumkan, kedua-dua pihak berhasrat berunding secara serius untuk menyelesaikan kes melibatkan pertuduhan terhadap S.M. Faisal.

Beliau memohon perbicaraaan hari ini ditangguhkan manakala status rundingan perbincangan itu dimaklumkan kepada mahkamah pada 30 Mac ini.

Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili S.M. Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan beliau dihubungi peguam pemerhati dan juga peguam syarie yang mewakili Emilia berhubung penyelesaian global.

Nadia kemudian menetapkan 30 Mac ini bagi perkembangan proses rundingan dan jika tiada penyelesaian, mahkamah akan mendengar keterangan Emilia.

Mahkamah sepatutnya menyambung keterangan Emilia hari ini sebagai saksi pendakwaan ketujuh dengan membacakan pernyataan bertulisnya.

Pada 14 Mac lalu, ahli perniagaan itu berjaya menggugurkan beberapa perenggan dalam pernyataan bertulis bekas isterinya.

S.M. Faisal S.M Nasimuddin diiringi peguamnya hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes mencederakan Emilia Hanafi. – UTUSAN/AMIR KHALID

Mengikut pertuduhan, S.M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Akberdin ketika ditemui wakil media di luar mahkamah memaklumkan, pihaknya bersedia mempertimbang untuk menyelesaikannya termasuk kes di Mahkamah Syariah.

“Kami sedia dengan perbicaraan hari ini namun dimaklumkan supaya pihak-pihak mencari penyelesaian dan perkara ini tertakluk kepada persetujuan anak guam (S.M. Faisal).

“Pihak kami terbuka untuk berbincang kerana kes ini telah berlarutan terlalu lama dan kami mahu ia ditamatkan segera,” ujar Akberdin.

Dalam pada itu, Nazri ketika ditemui di luar mahkamah turut menyatakan, pihaknya akan mengadakan rundingan secepat mungkin bagi membincangkan terma-terma penyelesaian yang turut melibatkan penyelesaian global bagi kes-kes syariah.

Ujar beliau, pihaknya akan memohon agar semua prosiding di Mahkamah Syariah ditangguhkan sementara bagi membolehkan pihak-pihak dapat memberi tumpuan kepada inisiatif ke arah penyelesaian global.

Sementara itu, Emilia ketika ditemui berkata, proses rundingan melibatkan kedua-dua pihak kerana kes mahkamah telah berlarutan selama lapan tahun dan penyelesaian itu turut melibatkan kebajikan anak-anak. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya