TELUK INTAN: Sebuah bangunan yang sebelum ini menjadi pusat pelbagai kegiatan untuk Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Hilir Perak di sini, kini didapati terbiar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bangunan Rumah Puspanita Daerah Hilir Perak itu yang terletak bersebelahan sebuah pusat beli belah itu dinaiki semak samun dan dikatakan keadaan itu sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.
Seorang Ahli Jawatankuasa Puspanita Daerah Hilir Perak, Azizatun Hamzah, 37, berkata, sebelum ini bangunan itu menjadi pusat kegiatan Puspanita daerah Hilir Perak menjalankan aktivitinya namun sejak tahun 2016 bangunan itu dibiarkan kosong berikutan kerosakan teruk pada bahagian atap bangunan itu.
Katanya, ini menyebabkan aktiviti Puspanita tidak lagi dijalankan di bangunan itu dan keadaannya terbiar sehingga dinaiki semak.
“Disebabkan kami tidak dapat menggunakan lagi bangunan ini, kami mengadakan aktiviti persatuan seperti hi-tea, majlis makan malam, ceramah dan mesyuarat dengan menyewa tempat lain.
“Adalah merugikan kerana bangunan ini terbiar. Kami bimbang banguan terbiar ini menjadi tempat membiak haiwan berbisa atau sarang penagih,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Azizatun berkata, ahli Puspanita daerah itu berpandangan jika bangunan itu hendak dirobohkan, dicadangkan dibina semula satu kawasan terbuka seperti Arena Square di sini, supaya dapat dimanfaatkan orang ramai.
Menurutnya, jika tiada cadangan untuk merobohkannya, bangunan itu perlu dibaik pulih sepenuhnya supaya persatuan itu tidak perlu menyewa tempat lain untuk menjalankan aktiviti.
“Namun bagi kami lebih baik dibina bangunan baharu kerana kerosakan pada banguna ini agak teruk, selain bangunannya agak usang dan mungkin tidak selamat diduduki.
“Kawasan sekelilingnya juga berlembah, tanahnya rendah dan sering dilanda banjir. Air yang bertakung sukar mengalir keluar kerana kawasan sebelah bangunan pusat perniagaan bersebelahan lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, sekiranya persatuan itu mempunyai bangunan untuk menjalankan aktiviti, pihaknya merancang pelbagai program yang dapat memberikan dana kepada persatuan itu.
“Jika bangunan ini boleh digunakan, pelbagai aktiviti boleh diadakan kerana kedudukannya strategi, di laluan utama di bandar ini.
“Kami merancang pelbagai aktiviti yang dapat menarik orang ramai dan aktifkan semula penglibatan ahli Puspanita sekaligus menambah keahlian.
“Antara yang dirancang termasuk car boot sale, acara sukan dalam dewan, sukaneka, sukan tradisional kerana ahli ramai yang veteran, ladies night, pertandingan memasak, gerai jualan ahli Puspanita, ceramah agama, kelas gubahan, kelas solekan, aerobik dan pelbagai aktiviti lain,” katanya. – UTUSAN










