Rumah mampu milik, rumah mampu mimpi? - Utusan Malaysia

Rumah mampu milik, rumah mampu mimpi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARGA rumah mampu milik yang tinggi sehingga RM300,000 mendorong rakyat terutamanya golongan muda untuk mengetepikan dahulu impian memiliki kediaman sendiri lebih-lebih lagi ketika ekonomi tidak menentu.

Malah ada di antara mereka menyifatkan keinginan membeli sebuah kediaman seperti bermimpi di siang hari memandangkan pendapatan bulanan tidak setimpal dengan harga pembiayaan perumahan yang perlu dibayar setiap bulan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai terutamanya individu yang menetap di bandar-bandar utama mendapati mustahil bagi mereka untuk memiliki kediaman sendiri memandangkan harga rumah di kawasan berkenaan lebih mahal.

Bagi Riduan Ismail, 33, beliau pernah beberapa kali mengunjungi pameran kediaman sekitar Lembah Klang untuk membeli rumah, namun hasilnya menghampakan apabila harga yang ditawarkan diluar kemampuan beliau.

Menurut Eksekutif Kanan di sebuah syarikat swasta itu, meskipun harganya dikatakan mampu milik, ia masih membebankan memandangkan beliau mempunyai komitmen lain termasuk keluarga di kampung.

“Impian membeli rumah di kawasan bandar besar bagi saya bukanlah untuk mereka yang berpendapatan sederhana seperti saya memandangkan harganya masih tinggi terutamanya dalam situasi ekonomi sekarang.

“Saya teringat apabila kawan saya berkata rumah mampu milik sebenarnya adalah rumah mampu mimpi bagi rakyat berpendapatan rendah dah sederhana kerana jika beli kami mungkin tertekan akibat bayaran bulanan tidak setimpal dengan gaji,” katanya.

Justeru itu, Riduan berkata, sudah sampai masanya kerajaan bersama pemaju-pemaju swasta mempertimbangkan untuk menawarkan rumah mampu milik dengan harga sekitar RM200,000 di bandar-bandar utama.

“Bukan hanya saya seorang mengharapkan harga rumah mampu milik dijual sekitar RM200,000 tetapi ramai, termasuk beberapa orang rakan-rakan saya kerana itulah yang setimpal dengan pendapatan kami.

“Permintaan rumah mampu milik banyak cuma apabila harganya mahal sehingga RM300,000 maka tidak ramai mampu membeli dan tidak hairan jika pemaju mengadu rumah jenis itu tidak terjual,” katanya.

Bagi Mohamed Faizal Buang, 44, beliau melihat kegagalan beberapa projek perumahan yang didakwa sebagai rumah mampu milik ekoran tidak terjual adalah disebabkan harganya yang tidak memenuhi kemampuan golongan B40 dan M40.

Menurut beliau, ada kalanya harga rumah berkenaan terlalu tinggi dan tidak bersesuaian dengan istilah sebagai rumah mampu milik memandangkan kemampuan pembeli untuk membayar balik pinjaman yang dibuat membebankan.

“Dalam konteks sekarang khususnya penjawat awam daripada pelbagai kategori terutamanya B40 di bandar harga rumah yang sewajarnya ditawarkan ialah sekitar RM200,000 sehingga RM350,000.

“Oleh itu, campur tangan kerajaan dilihat satu pendekatan yang signifikan bagi menyelesaikan isu harga rumah yang terlalu tinggi selain turut menyediakan insentif khusus kepada pemaju bagi menggalakkan mereka membina lebih banyak perumahan mampu milik dengan harga berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kerajaan, Mohd Shahrul Sukirman, 41, berkata, harga rumah mampu milik RM300,000 bukanlah satu nilai yang menjadi nilai kemampuan sebenar rakyat yang masih belum memiliki rumah.

Beliau berkata, penetapan harga mula bagi rumah mampu milik wajar lebih rendah daripada apa yang ditawarkan pada masa ini memandangkan kemampuan bakal pemilik rumah tidak selari dengan harga rumah yang ditawarkan.

Katanya, syarikat hartanah perlu lebih cakna mengenai isu milikan rumah mampu milik dengan lebih bertanggungjawab di mana beban galakan milikan rumah mampu milik tidak wajar diletakkan di atas bahu pihak kerajaan sepenuhnya.

“Dua-dua pihak wajar bekerjasama dalam memastikan harga rumah dapat mencapai satu angka yang mampu kepada semua rakyat Malaysia terutamanya M40 dan B40,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN