Rabbani masih laris

Rabbani masih laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU depan, umat Islam bakal menyambut ketibaan bulan Ramadan. Bagi kebanyakan artis, bulan mulia itu membuka pintu rezeki dengan menerima pelbagai undangan persembahan. 

Lebih-lebih lagi buat artis nasyid yang sinonim dengan seleksi lagu dakwah dan ketuhanan sempena meraikan bulan penuh rahmat itu. 

Di sebalik kerancakan itu, artis komersial juga mula mengumumkan siri persembahan sempena Ramadan di pelbagai lokasi di ibu negara. 

Ada yang menganggap, penglibatan artis komersial mengganggu pasaran artis nasyid. Benarkah dakwaan mereka ‘mencaras’ rezeki artis nasyid?

Menjawab pertanyaan itu, kumpulan nasyid legenda, Rabbani tidak pernah rungsing memikirkan soal persaingan kerana bagi mereka setiap tawaran persembahan yang diterima adalah periuk rezeki masing-masing. 

Wakil kumpulan itu, Azadan berkata, pengalaman 25 tahun berkecimpung dalam industri seni mengajar mereka tentang erti berlapang dada kerana mesej paling penting adalah keberkatan Ramadan itu sama-sama dihayati. 

“Itu adalah rezeki masing-masing sebab bagi saya pihak penganjur juga sudah memainkan peranan. 

“Bila usaha yang kita buat selama ini bercambah, itulah keberkatannya. Sebagai artis nasyid berada di khalayak bukan bertujuan mempromosi diri, sebaliknya menyebarkan mesej dakwah dan jadi ikutan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.   

JAGA ADAB 

Dalam masa sama, Azadan menasihatkan kepada mana-mana artis yang membuat persembahan semasa bulan Ramadan agar menjaga adab dan batas ketika bulan Ramadan. 

“Nak hiburkan orang semasa bulan Ramadan perlulah menjaga batas dan persembahan yang tidak keterlaluan. 

“Adab hendaklah dijaga terutamanya pemilihan lagu bagi menjaga kesucian di bulan yang penuh keberkatan ini,” jelasnya. 

Ditanya tawaran persembahan melibatkan artis nasyid lain, Azadan berkata, dia juga berasa seronok apabila rakan-rakan seangkatan lain menerima undangan di lokasi masing-masing. 

“Ada artis nasyid lain yang dapat jemputan lain turut mempelawa kami buat persembahan. 

“Anak didik kami, Aydan juga dapat slot mengadakan persembahan di sebuah hotel semasa Ramadan nanti,” katanya. 

Menurut Azadan, Rabbani yang terkenal dengan lagu Intifada bukan sahaja menerima tawaran dari penganjur tempatan setiap kali menjelang Ramadan, sebaliknya kerap menerima jemputan dari penganjur karnival di Singapura. 

“Setiap tahun kami dapat jemputan dari Singapura. Selalunya sebulan sebelum Ramadan memang sudah ada penganjur yang bertanya,” katanya. 

RABBANI TETAP LARIS

Meneruskan tradisi sepanjang Ramadan ini, Rabbani terus giat menyusun aktiviti seni mereka apabila terus menjadi pilihan untuk menghiburkan pengunjung ketika majlis berbuka puasa.

Tahun ini, Rabbani dipilih oleh Semenyih Eco Venture Resort & Recreation yang merupakan lokasi rekreasi yang akan membawa pengunjung kembali ke alam semula jadi dan jauh daripada kesibukan kota.

Pemilihan kumpulan nasyid legenda itu sebagai artis dan juga rakan sinergi lokasi kerana kredibiliti, berpengaruh dan mencipta nama tersendiri dalam industri hiburan tanah air.

Mewakili Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang Ramadan di lokasi berkenaan antaranya kerjasama dengan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) melibatkan Pakej Madrasah Ramadan dan Pakej Lailatulqadar.

“Alhamdulillah, Rabbani terus menjadi pilihan syarikat swasta dalam mengimarahkan bulan Ramadan nanti sebagai bukti kumpulan nasyid masih relevan dalam industri tanah air ini,” katanya. 

Sebagai kumpulan nasyid senior, Azadan berkata, mereka perlu menunjukkan contoh terbaik kepada kumpulan nasyid baharu untuk terus yakin dan bersemangat meneruskan legasi nasyid tanah air.

“Untuk berjaya dan kekal relevan, kami perlu bermula dengan komitmen dan memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak agar dapat melahirkan kepercayaan dalam menjalankan tugas,” ujarnya lagi. 

Azadan memberitahu, Bufet Ramadan bersama Rabbani menyediakan lebih 200 menu masakan tradisional Malaysia, Asia dan Asia Barat terdiri daripada satu pasukan pakar masakan berpengalaman.

Malah katanya, bufet itu bakal mencipta sejarah apabila muncul sebagai bufet Ramadan terbesar di Semenyih sepanjang Ramadan ini.

“Menyahut seruan kerajaan, Semenyih Eco Venture Resort & Recreation membawa tema Perkampungan Madani Ramadan Dihayati sempena bulan Ramadan ini.

“Ia juga bermatlamat menjadikan lokasi ini sebagai pusat pelancongan Madani terbesar di Malaysia dengan pelbagai aktiviti menarik seperti memanah, berkayak dan berbasikal di sini,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya