KUALA LUMPUR: Dua minggu sebelum seorang pelajar perempuan maut ditikam di sekolahnya di Bandar Utama, pelaku yang juga pelajar sekolah sama telah membawa tiga bilah pisau setiap hari ke sekolah berkenaan.
Pisau kombat yang bersaiz besar digantung di lehernya manakala dua pisau jenis sama bersaiz kecil dan masing-masing tertulis nama Seung Hui Cho serta Salvador Ramos disimpan di dalam poket seluar sekolahnya.
Hui Cho ialah seorang pembunuh besar-besaran kelahiran Korea Selatan yang membunuh 32 orang penuntut dan mencederakan 17 yang lain bersenjatakan dua pistol separa automatik di Institut Politeknik dan Universiti Negeri Virginia di Blacksburg, Virginia pada 2007.
Ramos membunuh 19 remaja dan dua guru di sebuah sekolah di Texas, Amerika Syarikat pada 2022 menggunakan dua pucuk senapang.
Selain dua individu berkenaan, remaja lelaki berkenaan turut mengidolakan dua lagi penembak sekolah (school shooter), Eric Harris dan Dylan Klebold yang membunuh 12 pelajar, seorang guru dan mencederakan 20 orang yang lain di sebuah sekolah di Colorado pada April 1999.
Kesemua pesalah itu dianggap `tuhan’ oleh remaja lelaki terbabit.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Adlin Abdul Majid menerusi penghakimannya berkata, remaja terbabit pada mulanya merancang untuk melakukan serangan di sekolah berkenaan pada 20 April 2027; tarikh sama kejadian pembunuhan oleh Harris dan Klebold namun tarikh itu dipercepatkan kerana remaja lelaki itu takut dibuang sekolah kerana menyerang dua pelajar sebelum kejadian tikam itu.
Penghakiman penuh yang diterbitkan di laman web e-penghakiman hari ini turut mendedahkan bahawa remaja lelaki itu menganggap mangsa dan orang di sekelilingnya sebagai ‘NPC’ atau non-player character (watak bukan pemain); watak latar belakang yang dikawal oleh permainan dan bukannya oleh pemain manusia, tidak mempunyai autonomi atau keperibadian tersendiri.
Menurut penghakiman tersebut, remaja lelaki berkenaan turut menganggap dirinya sebagai ‘Kira’, sebuah watak dalam anime The Death Note seperti dewa yang menghakimi dan menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang dianggap tidak berguna.
Remaja lelaki itu juga mempunyai delusi erotomania terhadap mangsa iaitu satu keadaan yang mana seseorang itu menganggap individu lain mempunyai perasaan cinta terhadapnya sedangkan tidak bukti menunjukkan sedemikian.
“Catatan jurnal dalam telefon bimbitnya menunjukkan perkembangan ketaksubannya terhadap mangsa; bermula daripada luahan rasa cinta sehinggalah kepada niat untuk membawa mangsa bersamanya dalam kematian, di samping ikhtiar bunuh diri yang berterusan, kesepian yang teramat sangat, serta kepercayaan bahawa nilai dirinya bergantung sepenuhnya pada penampilan fizikalnya.
“Catatan-catatan dalam jurnal tersebut sahaja satu gejala tetapi sebagai pengesahan bebas yang dibuat pada masa kejadian (contemporaneous corroboration). Rekod peribadi remaja lelaki itu sendiri yang ditulis dalam bahasanya sendiri dan tanpa sasaran pembaca selain dirinya, mendedahkan unsur delusi dan halusinansi yang kemudiannya dikenal pasti oleh pakar psikiatri termasuklah unsur penganiayaan, keagungan, penyahmanusiaan dan berada dalam satu misi seakan-akan tuhan (godlike mission).
“Terdapat keterangan yang mencukupi dalam kes ini mengenai tingkah laku remaja lelaki tersebut yang menyokong dapatan bahawa dia tidak mempunyai keupayaan untuk mengetahui bahawa apa yang dilakukannya adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang.
“Pada pandangan saya, tingkah laku yang ditunjukkan sebelum dan selepas kejadian tidak mencerminkan perlakuan seseorang yang tahu bahawa beliau telah melakukan kesalahan, sebaliknya menunjukkan seseorang yang percaya bahawa beliau telah mencapai atau menyempurnakan sesuatu (completed a mission),”kata hakim itu.
Dalam penghakimannya, Hakim Adlin menyatakan keputusan yang dibuat beliau pada 14 September lalu bukan bermaksud kematian remaja perempuan itu bukanlah sesuatu yang tidak menyayat hati atau tidak serius.
“Kematiannya adalah sesuatu yang sangat tragik dan satu kehilangan besar kepada mereka yang mengenalinya. Tiada dalam dapatan mahkamah ini yang boleh dibaca atau ditafsirkan sebagai satu anggapan bahawa kematian remaja itu tidak tragis.
“Apa yang ditunjukkan, melalui kes ini adalah betapa seriusnya kesan penyakit mental terhadap kanak-kanak yang tidak disedari dan tidak dirawat selama bertahun-tahun dan betapa teruknya kesan penyakit itu.
“Dalam kes ini, gejala-gejala penyakit psikotik yang bermula sangat awal dan akhirnya menjadi sangat parah telah wujud seawal usia sembilan tahun, didokumenkan selama lima tahun dalam akaun keluarga, rekod sekolah dan pemerhatian guru-guru, namun tidak pernah sekali pun diiktiraf sebagai satu penyakit.
“Tanda-tanda pemencilan diri, delusi, keengganan menanggalkan pelitup muka, kelewatan kronik yang berpunca daripada ketakutan, dan suara halusinasi ditafsirkan sebagai masalah tingkah laku atau disiplin dan bukannya sebagai kecemasan perubatan.
“Kos daripada kesilapan tafsiran itu kini telah ditanggung oleh dua buah keluarga,”kata hakim itu.
Pada 14 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah alam memutuskan bahawa remaja lelaki itu dilepaskan daripada pertuduhan membunuh mangsa atas alasan tidak waras ketika kejadian namun diperintahkan untuk ditahan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai pembebasannya dibuat dengan perkenan Sultan Selangor.-UTUSAN











