Puteri Sarah harap dilepaskan cara baik

Puteri Sarah harap dilepaskan cara baik

PUTERI SARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana menaruh harapan besar agar dirinya ‘dilepaskan’ dengan cara baik oleh suami­nya, Syamsul Yusof, hari ini.

Tidak mahu dirinya dibebani masalah dan kekusutan dalam hubungan sebagai suami dan isteri, Puteri Sarah mahu meneruskan kehidupan dengan tenang bersama anak-anak.

“Saya memang hendak 100 peratus dilepaskan dan harap pihak sana (Syamsul Yusof) permudahkan. Saya tak nak lama-lama seperti ini lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Puteri Sarah yang nekad dengan ke­putusan itu berkata, dia sudah me­nunaikan solat is­tikharah ketika menunaikan umrah bagi memohon petunjuk dari Allah SWT.

“Kadang-kadang memang kita tak dapat petanda melalui mimpi. Namun, bila kita hendak buat keputusan dan dipermudahkan Allah SWT, hati rasa tenang dan tidak berdebar, maka itulah petunjuk terbaik bagi saya,” katanya.

Ditanya hubungan dengan mentua, Puteri Sarah berkata, dia berjanji segala keputusan yang berlaku hari ini tidak akan menjejaskan sebarang hubungan dengan mereka.

Katanya, keluarga mentua juga sangat memahami dan menyokong segala keputusan terbaik dalam hidupnya selama ini.

“Mereka juga tahu dan faham. Walaupun berat untuk mereka lepaskan saya, tapi saya berjanji untuk menjaga hubungan baik dan tidak akan memisahkan cucu-cucunya. Ke­putusan ini tidak akan me­ngubah apa-apa keada­an sekali pun, saya tetap datang ke rumah mentua seperti biasa,” jelasnya.

Berhubung hak penjagaan anak kelak, Puteri Sarah berkata, dia akan menyerahkan urusan tersebut kepada peguam untuk berbincang dengan pihak Syamsul.

Katanya, Syamsul juga sedia maklum dirinya akan menjaga kedua-dua zuriat mereka.

“Kalau saya ada penggambaran, keluarga saya atau mentua akan bergilir-gilir jaga anak. Hubungan saya dengan keluarga mentua juga sangat baik,”

Hari ini merupakan detik penentuan selepas Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan hari sebutan kes bagi permohonan cerai antara Syamsul dan Puteri Sarah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×