Program lanjutan waktu operasi klinik perlu kajian mendalam - Utusan Malaysia

Program lanjutan waktu operasi klinik perlu kajian mendalam

A. SIVANESAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cadangan menggalakkan klinik perubatan am swasta dan doktor kontrak bekerjasama bagi program lanjutan waktu operasi di 52 buah klinik kesihatan terpilih seluruh negara perlu kajian mendalam terutama dalam aspek kebertanggungjawaban dan perundangan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, cadangan itu merupakan cadangan yang baik tetapi mungkin akan wujud masalah terutamanya dari segi akauntabiliti.

“Dari segi akauntabiliti, siapa yang akan bertanggungjawab jika berlaku kecuaian. Siapa yang akan bertanggungjawab, pihak kerajaan ataupun pihak swasta?.

“Ini kerana setiap doktor atau pegawai perubatan yang merupakan penjawat awam tertakluk kepada peraturan-peraturan sedia ada dalam perintah am.

“Cadangan ini secara amnya baik tetapi mungkin ada kekeliruan dari segi perundangan. Jadi saya mohon Kementerian Kesihatan dapatkan nasihat perundangan terlebih dahulu sebelum meneruskan cadangan ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurutnya, tujuh klinik kesihatan di negeri ini terpilih bagi program lanjutan waktu beroperasi selepas waktu pejabat bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital kerajaan.

Beliau berkata, tujuh klinik kesihatan itu ialah Klinik Kesihatan Tapah, Teluk Intan, Greentown di Ipoh, Kamunting, Taiping, Sitiawan dan Tanjung Malim.

“Waktu beroperasi bagi klinik-klinik tersebut adalah Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 9.30 malam manakala pada hari Sabtu pada 8 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan melihat keperluan bagi memanjangkan tempoh operasi klinik kesihatan di beberapa kawasan dan daerah di negeri ini.

“Kita akan melihat keperluan seperti di Bagan Datuk, Gerik, Lenggong dan Hutan Melintang yang setakat ini agak jauh daripada klinik yang telah beroperasi lebih masa, jadi saya akan bincang dengan menteri untuk tambahan beberapa klinik kesihatan yang dilihat perlu.

“Saya harap dengan program ini dapat mengurangkan 20 peratus kesesakan di hospital kerajaan di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, klinik perubatan am swasta (GP) dan doktor kontrak digalakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi program lanjutan waktu operasi di 52 klinik kesihatan (KK) terpilih di seluruh negara.

Menurutnya, ia penting bagi meringankan beban petugas kesihatan sekali gus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Beliau berkata, lanjutan operasi ini tidak membabitkan semua klinik kesihatan, namun ia sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan di hospital ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya