MELAKA: Politik Melaka kembali menjadi tumpuan selepas ura-ura pertukaran Ketua Menteri susulan tular maklumat yang disebarkan melalui WhatsApp bahawa Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri yang baharu bakal berlangsung esok.
Maklumat berkenaan mendakwa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh akan mengangkat sumpah pada pukul 3 petang, menggantikan penyandang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Bagaimanapun, Ab. Rauf yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.
“Saya enggan mengulas, sehingga ada maklumat selanjutnya,” katanya ringkas.
Sulaiman pula melalui Setiausaha Akhbarnya, Nasharuddin Muhammad memaklumkan, beliau tidak bersedia bertemu dengan pengamal media bagi membuat sebarang kenyataan, selepas mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), semalam.
Respons kedua-kedua pemimpin berkenaan menimbulkan tanda tanya, adakah spekulasi itu benar memandangkan tiada penafian dibuat seperti sebelum ini.
Ini kerana pada Januari lalu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu dan Ab. Rauf pernah tampil duduk semeja menafikan spekulasi sama.
Melalui beberapa klip video yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Penerangan Barisan Nasional (BN) Masjid Tanah, mereka menjelaskan dakwaan bahawa Sulaiman akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Ab. Rauf bergelar Ketua Menteri Melaka Ke-14 merupakan fitnah yang ditimbulkan oleh tokoh-tokoh berkepentingan dalam arena politik negeri.
Dalam pada itu, beberapa Ahli MMKN (Exco) yang dihubungi Utusan Malaysia juga tidak menjawab panggilan telefon.
Setakat berita ini ditulis, sumber dalaman parti memaklumkan, Sulaiman dikatakan akan melepaskan jawatannya secara rasmi hari ini.
Difahamkan, keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu, ketika Timbalan Perdana Menteri itu hadir merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam di sini.
Terdahulu, Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa pembentukan kerajaan perpaduan atau Kerajaan Madani seperti di peringkat Persekutuan bakal wujud di Melaka.
Perkara itu dinyatakan secara terbuka oleh Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kewajaran pertukaran kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, memandangkan penyandangnya, Sulaiman Md. Ali dilihat semakin diterima rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PN Melaka yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, sekiranya spekulasi itu benar, ia tidak ubah seperti mendirikan kerajaan negeri ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’.
“Sekarang adalah masa untuk kita sebagai wakil rakyat bekerja menyelesaikan masalah dan bukan lagi memikirkan soal siapa yang berkuasa. Kita boleh lihat Ketua Menteri sekarang sudah diterima rakyat.
“Kita tidak mahu masuk campur pertelingkahan dalaman Barisan Nasional (BN). Sekiranya khabar angin itu menjadi kenyataan, seolah-olah mereka ini lebih mementingkan kuasa berbanding bekerja untuk rakyat.
“Orang mungkin akan kata ‘tebuk atap’ atau ‘pintu belakang’ kerana tindakan ini lebih kurang sama sahaja, bezanya perebutan ini daripada parti yang sama. Saya sendiri tidak tahu apa agenda mereka untuk menggantikan kepimpinan yang baharu,” katanya ketika dihubungi.
Ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN dengan barisan exconya terdiri daripada Adun BN.
BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini diikuti dengan Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi. – UTUSAN










