Polis rampas rokok seludup, mercun bernilai RM170,000 - Utusan Malaysia

Polis rampas rokok seludup, mercun bernilai RM170,000

YUSHARIFUDDIN Mohd Yusop (dua dari kanan) menunjukkan rampasan rokok pelbagai jenis bersama mercun dan bunga api menerusi dua operasi berbeza dilaksanakan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis berjaya merampas rokok seludup dan pelbagai jenis mercun serta bunga api dianggarkan bernilai lebih RM170,00 dalam dua serbuan berasingan sekitar di sini pada Isnin dan Selasa lalu.

Pada Isnin lalu, menerusi Op Kontraban yang dilaksanakan di Kampung Padang Behor, di sini polis menyerbu sebuah kedai runcit dan merampas rokok seludup bernilai lebih RM100,000 itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan berjaya membawa kepada penemuan 49 karton rokok pelbagai jenis disyaki tiada duti kastam.

“Susulan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 57 tahun telah ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual rokok berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.

Tambah Yusharifuddin, menerusi penahanan itu, polis turut membuat pemeriksaan susulan di sebuah rumah sekitar Taman Sentosa, Kuala Perlis dengan berpandukan kepada maklumat tangkapan suspek sebelum ini.

Katanya, pemeriksaan di rumah berkenaan telah membawa kepada penemuan 473 lagi kotak rokok pelbagai jenis disyaki turut tiada duti kastam.

“Semakan lanjut mendapati suspek berkenaan mempunyai rekod lampau iaitu melibatkan kes pecah rumah dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

“Suspek direman sehingga hari ini dan kita akan semak sama ada wujud keperluan untuk lanjutkan tempoh penahanan atau terus membuat pertuduhan di mahkamah mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1957,” katanya.

Dalam kes berlainan, Yusharifuddin berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kangar turut membuat serbuan ke atas sebuah premis yang dipercayai dijadikan setor bagi penyimpanan mercun dan bunga api di Jalan Bukit Lagi, di sini, pada Selasa lalu.

Katanya, serbuan yang dijalankan pada pukul 5 petang itu telah membawa kepada penemuan 36 kotak besar yang mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM70,000.

“Tangkapan turut dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 54 tahun kerana menyimpan barangan tersebut di dalam premis berkenaan tanpa permit membeli, menjual dan menyimpan yang sah.

“Mercun dan bunga api ini disyaki untuk pasaran sekitar Perlis menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan akan direman sehingga esok bagi membolehkan siasatan dijalankan secara terperinci mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya