PN sumbang 100 rumah kontena buat mangsa gempa Turkiye

PN sumbang 100 rumah kontena buat mangsa gempa Turkiye

TUAN Ibrahim Tuan Man dan lima Ahli Parlimen PN bergambar sebelum berlepas ke Turkiye di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk menyumbang sebanyak 100 buah rumah kontena menerusi misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keberangkatan enam ahli Parlimen PN ke republik itu pada malam ini adalah untuk menyalurkan bantuan pasca gempa bumi dengan memfokuskan penyediaan rumah sederhana kekal daripada kontena, bantuan makanan serta pakaian untuk musim sejuk.

“Kita ada empat misi bantuan kemanusiaan secara keseluruhan dan ini adalah misi bantuan kedua untuk menyerahkan sebanyak lima buah rumah kontena di Turkiye dan sebuah kontena makanan ke Syria.

“Berdasarkan jadual, kami akan ke dua lokasi iaitu Gaziantep dan Hatay dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 Mac. Sebanyak RM350,000 diperuntukkan dalam misi bantuan ini hasil sumbangan daripada ahli Parlimen PN dan juga orang awam,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan delegasi ahli Parlimen PN ke misi bantuan gempa bumi Turkiye-Syria di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1 KLIA) malam ini.

Selain Tuan Ibrahim, ahli Parlimen lain yang turut menyertai misi bantuan itu termasuklah Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik); Datuk Awang Hashim (Pendang); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Kumpulan berkenaan turut disertai empat sukarelawan daripada PasRelief dan Sekretariat Aid 4 Turkiye-Syria dan kesemua mereka dijangka berlepas ke Turkiye dengan menaiki penerbangan pada pukul 11.50 malam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

“Kos untuk sebuah rumah kontena adalah RM30,000, ada juga yang hubungi mereka nak wakafkan sebuah kontena terus, jadi di sini saya ambil kesempatan untuk memohon orang ramai supaya dapat sama-sama menyumbang dalam misi ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya