PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan ada pihak dalam kalangan orang yang kehilangan kuasa cuba meniupkan api perkauman dan agama di negara pada masa ini.
Dalam hal itu, beliau mengigatkan bahawa kerajaan tidak sekali-kali mengizinkan sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk cuba mengadu-domba dan menghangatkan suhu kaum dan agama di negara ini.
Anwar menegaskan, seluruh pasukan Kabinet pimpinannya akan memastikan bahawa keamanan dan perdamaian semua kaum mesti dipertahankan sekali gus tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana usaha mengganggu-gugat keselamatan negara.
Untuk itu, beliau mengarahkan seluruh pasukan keselamatan agar berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang menggunakan sentimen itu dan rakyat miskin akan diupah semata-mata mahu menimbulkan kekacauan.
“Sekarang ini (isu perkauman dan agama) dalam keadaan terkawal, tetapi ada usaha orang yang kehilangan kuasa untuk menggunakan ini demi meniup sentimen kaum dan agama.
“Sekiranya tindakan itu melampau dan mengganggu-gugat negara, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan tetap teguh dalam mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan menjunjung Islam sebagai agama persekutuan serta memberi ruang dan kebebasan hak agama lain seperti dijamin dalam Perlembagaan.
Jelas beliau, sekiranya timbul isu-isu berbangkit melibatkan perkara itu, maka ia perlu dileraikan dengan baik supaya jangan ada perseteruan atau prasangka termasuk isu yang dibangkitkan baru-baru ini mengenai kunjungan ke gereja.
“Ia tidak harus melibatkan kerajaan sama sekali, dan kalau ada apa-apa pelanggaran peraturan atau timbulkan sensitiviti kaum, perkara ini harus dileraikan melalui rundingan.
“Kerajaan ini adalah kerajaan yang mempunyai dasar yang jelas ke arah Malaysia Madani dan teguh dalam mempertahan nilai dan akhlak, kukuh menyanjung semangat menyatupadukan rakyat pelbagai agama dan kaum, kita inklusif.
“Jadi kenyataan tidak bertangunggjawab tidak boleh diguna pakai kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Malaysia ini harus aman, tertib dan dibangunkan oleh Melayu dan bumiputera, Cina, India dan suku-suku kaum lain,” katanya.
Sementara itu, Anwar mengerahkan semua jentera kerajaan melibatkan diri dalam program pasca banjir di Johor bagi membantu kira-kira 82,831 mangsa yang terjejas akibat bencana alam itu ketika ini.
Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan juga turut bersetuju memberikan peruntukan tambahan bernilai RM150 juta yang diluluskan segera oleh Kementerian Kewangan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Pertama soal banjir, kita dapati keseluruhan mangsa terlibat yang diletakkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mencecah 82,831 orang selain seramai 26,879 manga sedang berada di 102 PPS yang masih aktif di Johor.
“Jadi, Kabinet memberi keutamaan untuk memutuskan semua jentera kementerian melibatkan diri dalam program pasca banjir, ada peruntukan tambahan RM150 juta daripada Kementerian Kewangan yang disegerakan.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga telah turun dan mengenal pasti beberapa projek dengan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Anwar menambah, seramai 16,167 isi rumah juga telah menerima bantuan wang ihsan bernilai RM1,000 berikutan terjejas akibat bencana banjir.
Perdana Menteri kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut dihadiri oleh 3,000 lebih jemaah, terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan universiti tersebut serta orang-orang awam.
Beliau mendengar khutbah tentang ‘ekstremis agama’ yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Dr. Hamidi Ishak. – UTUSAN










