Pisahkan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya - Muda

Pisahkan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya – Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan memisahkan kuasa antara Pendakwa Raya dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) selaras manifesto dua parti politik terbesar kerajaan gabungan di peringkat Persekutuan. 

Pemisahan kuasa itu bagi mengelak konflik kepentingan dan persepsi campur tangan kerajaan dalam segala keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara. 

Gesaan dibangkitkan Muda selepas pihak pendakwaan yang dilapor tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal selepas dibenarkan oleh mahkamah. 

“Peguam Negara memainkan dua peranan yang meletakkan beliau dalam konflik kepentingan. Pertama, menjadi ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan dan menteri-menterinya. 

“Kedua, menjadi Pendakwa Raya yang berkuasa mendakwa dan menggugurkan pendakwaan terhadap mana-mana pihak, termasuk terhadap menteri-menteri kerajaan.

“Jadi, adalah penting memisahkan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan Pendakwa Raya.

“Ini menimbulkan persepsi bahawa terdapat campur tangan terhadap pihak Jabatan Peguam Negara untuk mengambil keputusan yang memanfaatkan seorang Menteri kerajaan,” kata parti itu dalam kenyataan bersama oleh Timbalan Presiden, Amira Aisya Abdul Aziz dan Naib Presiden, Lim Wei Jiet. 

Sementara itu, ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kajian pemisahan fungsi Pendakwa Raya dan Peguam Negara mengambil masa, rumit serta mempunyai implikasi pertambahan perbelanjaan kerajaan. 

“Pada prinsipnya ramai setuju supaya dipisahkan tetapi pada peringkat pelaksanaannya kita teliti kerana dari segi kesan implikasi kewangan hampir RM300 juta tambahan.

“Tapi saya setuju ia bukanlah pertimbangan utama kerana yang penting adalah memastikan satu proses pendakwaan yang lebih telus dan bebas,” katanya menjawab  soalan Chiew Choon Man (Miri – PH). 

Semalam, media melaporkan, Ahmad Zahid kini boleh keluar negara pada bila-bila masa selepas Mahkamah Rayuan memulangkan semula pasport antarabangsa yang ditahan ekoran pendakwaan kes jenayah.

Pasportnya ditahan oleh Mahkamah Tinggi hampir lima tahun lalu berikutan pendakwaan terhadapnya berhubung pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi sejak 2018.

Pasport itu sebelum ini diserah kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan, pasport antarabangsanya yang kini ditahan menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah beliau tidak mendapat arahan untuk mengemukakan sebarang bantahan.

Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan pada 13 Februari lalu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

Pada 3 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara pasport antarabangsanya bagi membolehkan beliau memohon pasport diplomatik.

Hakim seterusnya memerintahkan beliau menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya