Pinjaman tidak wujud: Kos sara hidup, KWSP dikhuatiri jadi punca

Kos sara hidup, KWSP dikhuatiri jadi punca peningkatan kes tipu pinjaman tidak wujud

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan kos sara hidup serta keputusan kerajaan yang tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhuatiri memberi kesan kepada peningkatan jumlah kes penipuan pinjaman tidak wujud.

Ini kerana, berdasarkan statistik yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh empat tahun sejak 2020 sehingga Januari lalu, sebanyak 13,892 kes penipuan pinjaman tidak wujud dicatatkan dengan kerugian bernilai lebih RM150 juta.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket penipuan ini bijak memanipulasi keadaan semasa dan mengambil kesempatan daripada kesempitan yang sedang dialami oleh individu-individu tertentu.

Kata beliau, sindiket itu biasanya akan menggunakan media sosial atau menghantar mesej menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) atau wechat untuk mencari mangsa.

“Sindiket akan meletakkan syarat pinjaman yang minimum untuk menarik perhatian mang­sa. Antara syarat yang sering digunakan adalah tidak perlu bersemuka dan dokumen hanya perlu dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

“Sebelum kelulusan diperoleh, mangsa akan diminta untuk membuat bayaran-bayaran tertentu atas pelbagai alasan seperti yuran pemprosesan atau pembatalan senarai hitam bayaran komitmen dan sebagainya.

“Namun setelah bayaran di­buat, wang pinjaman yang dijanjikan tidak diterima,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Mohd. Kamarudin, bagi mengelak daripada menjadi mangsa kepada sindiket penipuan sebegini, orang ramai adalah dinasihatkan untuk membuat pinjaman melalui institusi kewangan sah.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Kamarudin berkata, mes­kipun nilai kerugian adalah besar namun trend kes yang dilaporkan membabitkan penipuan itu menunjukkan penurunan.

Jelas beliau, operasi berterusan serta mesej pencegahan jenayah komersial yang disampaikan dalam pelbagai medium berbeza telah memberikan kesan yang positif dalam mengawal jenayah sebegini.

“Kes tertinggi direkodkan adalah pada 2020 dengan 5,721 kes membabitkan kerugian RM60.1 juta diikuti 2021 dengan 4,784 kes melibatkan kerugian RM50.6 juta.

“Bagi tahun lalu pula, sebanyak 3,174 kes direkodkan dengan kerugian RM37.44 juta manakala Januari tahun ini sebanyak 213 dicatatkan dengan kerugian RM1.88 juta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN