MARAN: Kerajaan diminta mengkaji kadar pencen diterima bekas pesara kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang rendah dan dikategorikan di bawah paras kemiskinan.
Ketika ini masih terdapat bekas pekerja Lembaga Letrik Negara (LLN) yang kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad (TNB) setelah diswastakan, mendapat pencen RM162 sebulan walaupun Malaysia sudah lebih 65 tahun merdeka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pekerja LLN, Rosalan Sani, 64, berkata, masyarakat tidak mengetahui sepenuhnya nasib pekerja-pekerja bawahan beberapa jabatan kerajaan setelah bersara seolah-olah merempat di negara sendiri.
Katanya, setelah LLN diswastakan kepada TNB, ia muncul konglomerat ternama negara dan mencatat keuntungan berbilion ringgit setahun.
“Tetapi saya dan beberapa rakan bersara semasa operasi LLN hanya menerima pencen RM162 sebulan,” katanya di sini semalam.
Pada Mac tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) bagi kerajaan sebelum ini, Datuk Mastura Mohd. Yazid dilaporkan berkata, lebih 87,000 daripada 886,458 pesara penjawat awam tergolong dalam kategori miskin tegar.
Mastura dilaporkan berkata, bagi menentukan pesara terbabit dikategorikan sebagai miskin tegar, ia mengambil kira tempoh perkhidmatan pegawai selama 25 tahun.
Katanya, ia bagi melayakkan pesara menerima kadar pencen terendah sebanyak RM1,000.
Rosalan berkata, difahamkan lebih 87,000 bekas pekerja kerajaan dan GLC yang menerima pencen di bawah RM1,000 sebulan membabitkan kumpulan D antaranya pemandu, pekerja am, budak pejabat dan atendan hospital.
“Saya merayu kerajaan mempertimbang kenaikan pencen pesara kerajaan dan GLC yang lebih munasabah dengan kenaikan kos sara hidup sekarang. Kami menerima bayaran pencen setiap bulan di bawah paras kemiskinan dan tidak berubah sejak tiga dekad lalu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Maran berkata, pesara-pesara kerajaan dan GLC terlibat menjalani kehidupan yang sukar berikutan kenaikan kos hidup dan terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi menyara keluarga.
Beliau berharap Kongres Kesatuan Sekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dapat memperjuang nasib pesara kerajaan dan GLC yang mendapat pencen di bawah RM1,000.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Zahari Zakaria, 61, berharap kerajaan dapat menyelaras kenaikan gaji dan pencen pesara kerajaan setanding gaji minimum RM1,500.
Menurutnya, sangat menyedihkan ada pesara kerajaan dan GLC menerima pencen lebih rendah berbanding pendapatan pekerja asing.
Sementara itu, Setiausaha PPKM Cawangan Maran, Jamal Noor Abd. Nasir Ismail berkata, jumlah pencen diterima kumpulan pesara itu jauh lebih rendah berbanding had pendapatan garis kemiskinan (PGK).
Katanya, masalah pencen di bawah kemiskinan tegar sudah dikemukakan di PPKM peringkat negeri untuk dipanjangkan kepada kerajaan.
“Jumlah pencen di bawah kemiskinan tegar tidak patut berlaku ketika kerajaan sudah menetapkan Perintah Gaji Minimum (PGM) RM1,500 sebulan,” katanya. – UTUSAN











