Peruntukan tambahan tahfiz daif, NADMA - PM - Utusan Malaysia

Peruntukan tambahan tahfiz daif, NADMA – PM

daif
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM150 juta bagi kegunaan maahad tahfiz dan sekolah pondok yang daif di seluruh negara.

Selain itu, peruntukan RM100 juta turut diluluskan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mengatasi masalah banjir.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan baharu berkenaan meliputi semua sekolah yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Justeru, peruntukan tambahan akan diberikan kepada Jakim bagi memenuhi keperluan semua sekolah tersebut.

“Masalah banjir juga belum selesai dan kerajaan turut menambah lagi peruntukan kepada NADMA bagi mendepani isu berkenaan,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Khas PKR di Stadium Malawati, hari ini.

Bulan lalu, sebanyak RM900 juta peruntukan keseluruhan disediakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi masalah sekolah daif dalam Belanjawan 2023. Jumlah itu meliputi sebanyak 380 sekolah daif yang diberikan tumpuan serius oleh kerajaan.

Terdahulu, kerajaan turut menyalurkan RM400 juta kepada NADMA sebagai kesiapsiagaan mendepani kawasan banjir di seluruh negara.

Jelas Anwar, hasil kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut mencatatkan peningkatan pada Disember dan Januari lalu, bagaimanapun menegaskan pimpinannya tidak sesekali bersikap zalim dan terus memfokuskan isu kemiskinan rakyat.

“Perkara utama yang sentiasa saya fikir adalah kesusahan rakyat terutama yang tidak mampu membeli susu dan makanan. Justeru itu, tahun ini kita perlu menoktahkan kemiskinan antaranya dengan penjimatan daripada ketirisan sistem.

“Kita bukan bayar untuk pimpinan namun membayarnya kepada rakyat termasuk pesawah dan nelayan. Saya yakin jika kekal trek rekod ini, rakyat akan membuat pilihan tepat bagi menyelamatkan negara daripada kebobrokan dan rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Anwar yang juga Presiden PKR, beliau akan terus memerangi ketirisan sistem terutama melibatkan rasuah.

“Apa kebanggaan saya dalam Kerajaan Perpaduan? Alhamdulillah, kita pantau semua projek menerusi tender yang betul oleh kementerian. Kita mahu tidak ada sesiapa pun boleh merompak kekayaan dan mengkhianatinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya