Persembahan sentuh isu agama, Siti Nuramira kejutkan pengunjung kelab komedi

Persembahan sentuh isu agama, Siti Nuramira kejutkan pengunjung kelab komedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang hos sukarela sebuah kelab komedi mendakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, Siti Nuramira Abdullah menyentuh isu agama ketika membuat persembahan komediri sehingga mengejutkan pengunjung premis itu.

Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, mendakwa, wanita tersebut menggunakan kata-kata kesat sehingga menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan pengunjung menyebabkannya terpaksa meneutralkan keadaan.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada 4 Jun 2022, saksi pendakwaan pertama itu berkata, dia dimaklumkan ada pasangan bernama Alex dan Amira (Amy) yang memperkenal diri sebagai suami isteri berhasrat membuat persembahan.

Jelas pereka grafik itu, selaku hos di Crack House Comedy Club, dia selalunya akan mengingatkan pihak yang membuat persembahan agar tidak menyentuh ‘3R’ iaitu isu berkaitan agama, bangsa dan raja.

Muhammad Asyraf berkata, walaupun peraturan itu tidak bertulis, dia mengambil maklum mengenainya sewaktu mengasah bakat membuat persembahan komediri di kelab berkenaan.

“Siti Nuramira pada mulanya memperkenal diri sambil menyatakan dia menghafal 15 juzuk al-Quran. Tanpa semena-mena, dia membuka tudung dan baju kurungnya sambil mengutarakan kata-kata kesat.

“Saya tidak pernah menyaksikan kejadian seperti ini lebih-lebih lagi ketika persembahan live dan ia berlaku dalam tempoh yang singkat.

“Persembahan komediri biasanya melibatkan lawak jenaka, namun yang ini tiada lawak langsung,” jelasnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Abdul Malik kemudian memohon rakaman video berdurasi dua minit berhubung kejadian yang didakwa berlaku, ditayangkan kepada mahkamah.

Menjawab soalan Abdul Malik, Muhammad Asyraf menyatakan, sebelum persembahan bermula, dia turut mengingatkan pengunjung agar tidak membuat rakaman bagi mengelakkan sebarang footage disalah guna.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Siti Nuramira, 27, atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di Crack House Comedy Club, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail di sini kira-kira pukul 6 petang, 4 Jun 2022.

Siti Nuramira yang mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran, didakwa atas pertuduhan pindaan membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam lain.

Pegawai eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN