Perkhidmatan aerotrain KLIA dihentikan serta-merta

Perkhidmatan aerotrain KLIA dihentikan serta-merta

ISKANDAR Mizal Mahmood ketika sidang akhbar berhubung pemberhentian serta-merta perkhidmatan aerotrain di KLIA Terminal 1, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil keputusan untuk menghentikan serta-merta perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (APM) atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian tren.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, keputusan menghentikan perkhidmatan tren itu diambil atas faktor keselamatan dan sebanyak 18 buah bas perantara yang beroperasi 24 jam disediakan bagi mengambil dan menurunkan penumpang dari balai pelepasan ke terminal satelit.

Menurut beliau, perkhidmatan aerotrain yang beroperasi sejak 25 tahun lalu itu sering mengalami gangguan perkhidmatan sehingga menyebabkan ketidakcekapan operasi serta ketidaksenangan kepada penumpang.

“Semalam kira-kira pukul 3 petang telah berlaku satu insiden tidak diingini membabitkan sebuah aerotrain yang membawa seramai 114 penumpang dari terminal utama ke terminal satelit terhenti secara tiba-tiba di atas landasan.

“Bagaimanapun, sebuah lagi tren yang sepatutnya digunakan untuk membantu membawa mereka yang terkandas turut mengalami gangguan perkhidmatan dan menyebabkan kesemua 114 penumpang terpaksa berjalan di atas landasan sejauh 400 meter ke terminal satelit,” katanya dalam sidang akhbar di KLIA Terminal 1 hari ini.

Jelas Iskandar, pihak pengurusan MAHB amat kesal dan memohon maaf atas insiden yang berlaku itu sehingga mengakibatkan 10 penumpang terlepas penerbangan masing-masing ke Padang, Indonesia dan Pudong, China.

Bagaimanapun katanya, kesemua penumpang yang terlibat itu diberikan bantuan sewajarnya termasuk disediakan penginapan dan tiket penerbangan baharu ke destinasi mereka.

Tambahnya, kejadian yang berlaku semalam adalah insiden kedua penumpang terpaksa berjalan kaki di atas landasan susulan masalah teknikal.

Mengulas mengenai penggantian aerotrain, Iskandar berkata, perkhidmatan rel itu telah mengendalikan lebih 300 juta penumpang sejak ia mula beroperasi membabitkan sejauh 2.8 juta kilometer perjalanan.

Media pada 5 September tahun lalu melaporkan, program penggantian aerotrain di Terminal 1 KLIA dijangka selesai menjelang 2025 merangkumi sembilan buah tren bernilai kira-kira RM700 juta dan akan dilaksanakan dalam dua fasa membabitkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan.

Iskandar berkata, kerja-kerja reka bentuk yang bermula pada Mac 2022 akan berjalan sehingga Mac 2023 manakala pembinaan aerotrain baharu akan bermula dari Mac 2023 sehingga Mac 2025.

Jelas beliau, dalam tempoh peralihan selama tiga tahun, aerotrain ketika ini akan berjalan mengikut jadual yang terhad bagi membolehkan rejim penyelenggaraan yang lebih mantap kerana keadaan tren yang semakin tua selain memudahkan program penggantian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya