PETALING JAYA: DPMM FC bakal membuat perancangan awal untuk saingan Liga Super musim depan dengan pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid menjadi sasaran utama.
Kelab dari Brunei itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang melakukan rundingan dengan Safawi yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur City FC.
“DPMM FC sedang dalam usaha untuk berunding untuk mendapatkan penjaring terbanyak KL City, Safawi Rasid. Beliau kini bermain untuk KL City secara pinjaman daripada JDT.
“Safawi kini dipuncak prestasi apabila berjaya menjaringkan 13 gol setakat ini, dengan satu lagi perlawanan berbaki sehingga musim ini berakhir.
“Safawi bermain untuk Terengganu FC pada musim 2024/2025 sebelum berpindah ke KL City pada 2025. Dia adalah salah seorang penyerang terbaik di Malaysia.
“Beliau masih bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Safawi baru-baru ini juga dipanggil semasa kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac 2026,” kata DPMM FC.
Selain Safawi, DPMM sebelum ini turut menyatakan minat mendapatkan dua lagi pemain pinjaman KL City, Ryan dan Declan Lambert serta bek tengah JDT, Junior Eldstal.
Selain pemain yang beraksi di Liga Malaysia, DPMM FC turut mengintai khidmat bekas pemain tengah Al-Nasr, Mehdi Albeid dari Algeria yang kini beraksi di kelab divisyen 2 Saudi, Al-Raed FC.
“Mehdi Albeid telah ditandatangani untuk Istanbul Buyuksehir pada musim 2023/2024 sebelum berpindah ke Al-Raed sehingga sekarang. Bekas pemain tengah Newcastle United itu pernah beraksi 15 kali untuk pasukan kebangsaan Algeria,” kata DPMM FC.
DPMM FC kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan 23 mata hasil enam kemenangan dan lima seri, mereka akan berdepan Penang FC pada Jumaat ini di laman sendiri bagi aksi terakhir liga. – UTUSAN










