Perak nafi tidak mohon naik taraf jalan raya Timur-Barat - Utusan Malaysia

Perak nafi tidak mohon naik taraf jalan raya Timur-Barat

SAARANI Mohamad berucap pada Kolokium Kerajaan Tempatan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri terkilan berhubung kenyataan Kementerian Kerja Raya bahawa tiada permohanan dikemukakan bagi menaik taraf jalan raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya permohonan mengenai perkara tersebut sudah dikemukakan tahun lalu dan Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Fadillah Yusof turun padang melihat keadaan jalan berkenaan.

Menurutnya, jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad di Parlimen baru-baru ini bahawa kementerian itu tidak menerima sebarang permohonan menaik taraf laluan tersebut tidak adil kepada kerajaan negeri.

“Katanya kerajaan negeri tidak memohon, jadi orang ramai melihat macam kerajaan negeri tak bertanggungjawab, kerajaan negeri tak prihatin, kerajaan negeri tak buat kerja.

“Tak adil untuk kerajaan negeri sebab kita sudah buat kerja kita, orang beranggapan apa yang dia jawab itu betul, jadi di peringkat kerajaan negeri kita rasa sangat terkilan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Perasmian Kolokium Kerajaan Tempatan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, permohonan peruntukan bagi tujuan naik taraf jalan tersebut bernilai RM80 juta memandangkan laluan tersebut merupakan jalan Persekutuan yang sepatutnya diambil maklum oleh kementerian menerusi laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

Menurutnya, permohonan sama turut dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan sebelum pembentangan Belanjawan Februari lalu.

“Kalau kata tak boleh lulus, cakap sahaja tak boleh lulus, jangan kata kerajaan negeri tak buat kerja, itu yang kita tak setuju.

“Kita faham ada kekangan peruntukan kerajaan Persekutuan tapi cara memberi jawapan itu yang kita tak setuju.

“Kalau media nak highlight pun highlight, tak apalah, sekurang-kurangnya timbalan menteri yang berkenaan dalam masa penggulungan nanti dia perbetulkan kenyataan itu,” katanya.

Jun tahun lalu, Saarani bersama Fadillah Yusof turun padang melihat kerosakan teruk di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya berkenaan.

Antara perkara utama yang dibincangkan delegasi kerajaan negeri Perak bersama Perdana Menteri pada 10 Januari lalu adalah penggantian struktur laluan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak-Jeli, Kelantan yang bernilai RM80 juta.

Pada 28 Februari lalu, Abdul Rahman ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob, menjelaskan semakan kementerian tersebut mendapati tiada permohonan naik taraf jalan berkenaan diterima daripada kerajaan negeri Kelantan, Perak dan Kedah pada rolling plan ketiga Rancangan Malaysia Ke-12. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.