Penghuni Rumah Bonda cerita kejadian Bella terkena air panas

Penghuni Rumah Bonda cerita kejadian Bella terkena air panas

SITI BAINUN AHD. RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, seorang penghuni Rumah Bonda pernah menceritakan kepada seorang jururawat kejadian Bella terkena air panas daripada termos ketika bergaduh dengan seorang lagi penghuni rumah kebajikan itu.

Norhazira Masling, 35, berkata, Yasmin Nahar Mahmood memberitahu bahawa Bella dan Balqis berlari-lari dalam rumah tersebut sehingga menyebabkan termos itu terbalik dan terbuka lalu airnya terkeluar dan terkena belakang kanak-kanak sindrom Down itu.

Menurut jururawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) tersebut, Yasmin menyatakan demikian ketika mereka berbual dalam kereta berhampiran Kondominium Irama Wangsa di sini sekitar Julai 2021.

Norhazira yang juga rakan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berkata, dia bertemu Yasmin selepas peristiwa yang menimpa Bella tular di media sosial.

“Selepas itu saya dapat tahu daripada media bahawa Yasmin adalah saksi (pendakwaan) dalam kes ini,” ujar Norhazira.

Jururawat itu berkata demikian pada perbicaraan terhadap Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadap wanita itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Saksi pembelaan kedua itu selanjutnya berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau meminta Yasmin menceritakan kejadian yang menimpa Bella dan memintanya agar tidak menyorokkan peristiwa sebenar yang berlaku.

Ujar Norhazira, Yasmin memberitahu, Bella dan Balqis bergaduh dan berlari-lari lalu terkena termos menyebabkannya terbalik dan air terkeluar dan terkena belakang kanak-kanak tersebut.

Saksi turut menyatakan, Yasmin memberitahunya bahawa Bella seorang yang degil dan suka bergaduh dengan penghuni-penghuni Rumah Bonda yang lain.

Kata Norhazira, Yasmin tetap menceritakan perkara yang sama selepas beliau berkali-kali mengingatkan gadis itu agar bercakap benar dan tidak menyembunyikan kejadian yang menimpa Bella.

Pada sesi pemeriksaan balas, Norhazira bersetuju bahawa dia diberi input berkaitan kes berkenaan selain mengenali Siti Bainun sejak 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya