Pengeluaran sayur Cameron Highlands terjejas akibat suhu sejuk

Pengeluaran sayur di Cameron Highlands terjejas akibat cuaca sejuk

Pusat peranginan tanah tinggi, Cameron Highlands di Pahang dinobatkan antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Hujan berterusan sejak dua minggu lalu bukan sahaja mengakibatkan banjir di Johor dan Melaka, malah turut memberi kesan kepada perubahan iklim terutama di kawasan tanah tinggi.

Di Cameron Highlands, cuaca sejuk apabila suhu dikatakan mencecah paras serendah 12 darjah celsius turut menjejaskan penghasilan sayur di tanah tinggi itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Pertubuhan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands, Chay Yee Mong berkata, suhu terlampau sejuk yang dialami tanah tinggi itu ketika ini menyebabkan sayur yang ditanam terutama jenis kekacang lambat matang.

Menurutnya, ini sekali gus mengurangkan penghasilan sa­yur seperti cili dan tomato ser­ta lain-lain sayuran, dan beliau menjangkakan pengeluaran sayur dari kawasan tanah tinggi di sini berkurangan antara 10 hingga 15 peratus dalam masa terdekat.

“Cuaca sejuk yang berlaku ketika ini di sini agak pelik, saya boleh katakan ini disebabkan perubahan cuaca yang ekstrem kerana suhu jatuh sehingga 12 hingga 13 darjah celsius.

“Sedangkan biasanya pada bulan Mac cuaca panas. Suhu paling rendah yang pernah direkodkan di tanah tinggi ini ialah pada hujung tahun iaitu pada Disember ketika musim hujan iaitu antara 13 hingga 15 darjah celcius tetapi ketika ini suhunya serendah 12 darjah celsius.

“Suhu rendah serta hujan renyai yang masih dialami di sini ketika ini menyebabkan proses untuk sayur mencapai tempoh matang sebelum dikutip terjejas.

“Sayur berbunga tetapi buahnya akan gugur disebabkan cuaca sejuk atau hujan.

“Keadaan ini menyebabkan penghasilan sayur berkurangan, sebagai contoh biasanya pekebun boleh mengeluarkan hasil tanaman untuk dijual sebanyak tiga atau empat kali seminggu tetapi sekarang mungkin dua kali seminggu selain kualitinya berkurangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini agak luar biasa, kerana sepatunya ketika ini musim panas.

Katanya, biasanya musim hujan hanya setakat bulan Disember tetapi sekarang berlarutan hingga ke bulan Mac.

“Boleh dikatakan hampir semua jenis sayur seperti cili, kobis, kangkung terjejas penghasilannya kerana tempoh matang yang lambat, mengambil masa yang lama berbanding sewaktu cuaca panas.

“Kebanyakan ladang sayur di sini sudah dibina dengan bumbung plastik untuk mengelak hujan berlebihan, pertumbuhannya menjadi lambat dan kemungkinan dijangkiti penyakit disebabkan kelembapan tinggi kerana hujan renyai.

“Kerana lambat matang, sayur yang dihasilkan terjejas grednya, seperti cili yang dahulunya gred A tetapi sekarang jadi gred B, bermakna harganya rendah dan kami tidak dapat untung yang banyak.

“Kami pekebun sayur agak bimbang dengan keadaan ini dan saya menjangkakan harga sayur mungkin akan naik ming­gu ini disebabkan cuaca luar biasa yang kami alami di tanah tinggi ini,” katanya.

Menurutnya, banjir yang melanda Johor ketika ini memburukan lagi penghasilan sayur untuk keperluan negara apabila banyak kebun sayur yang rosak akibat banjir.

Beliau berkata, ini kerana Johor merupakan menyumbang satu pertiga kepada pengelua­ran sayur negara.

“Banjir di Johor adalah bukti perubahan cuaca yang ekstrem apabila banjir berlaku pada bulan Mac.

“Ini menyebabkan banyak kebun sayur di negeri itu yang bukan sahaja musnah hasil tanaman tetapi juga infrastruktur seperti kebun, peralatan berkebun, sistem pengairan, jalan rosak.

“Keadaan ini sudah tentu akan mengambil masa untuk pekebun dapat mengusahakan tanaman mereka seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN