Penduduk Kampung Sungai Sok, Slor Machang terima bekalan air bersih

Penduduk Kampung Sungai Sok, Slor Machang terima bekalan air bersih

ZAFRI  Abd Halim (dua dari kanan) melihat tangki penyimpanan air bersih selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Air Bersih Etiqa di Kampung Sungai Sok, Kuala Krai, Kelantan hari ini. UTUSAN/ ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Penantian lebih 30 tahun penduduk di Kampung Sungai Sok dan Kampung Slor Machang di sini untuk menikmati bekalan air bersih akhirnya menjadi kenyataan apabila impian itu direalisasikan oleh Etiqa Takaful Berhad (Etiqa).

Sebelum ini, 1,200 penduduk di kedua-dua buah kampung itu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan air tandak sebagai sumber utama kegunaan harian seperti mandi, memasak, minum dan mencuci pakaian.

Seorang penduduk, Nik Hamdi Nik Mamat, 63, berkata, sudah lama mereka memasang impian untuk menikmati bekalan air bersih sebagaimana kawasan-kawasan lain.

“Sebelum ni, kami di sini hanya menggunakan air tandak yang agak tidak terjamin kebersihannya terutamanya ketika musim kemarau.

“Setelah itu, kami telah membuat permohonan kepada Etiqa dan ia telah diluluskan. Tiada apa yang dapat kami ucapkan selain berterima kasih dan penduduk di sini cukup berpuas hati dengan bekalan air bersih ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Abd Halim memberitahu, projek berkenaan adalah tanggungjawab korporat Etiqa untuk komuniti bertujuan membantu meringankan beban penduduk setempat dalam mendapatkan air bersih.

Katanya, projek yang bermula sejak hujung Januari lalu itu dibiayai sepenuhnya oleh Etiqa dan dilaksanakan menerusi kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).

“Sejak lebih 30 tahun yang lalu, penduduk di sini bergantung kepada sumber bekalan air bukit daripada anak sungai berhampiran, dengan menggunakan sistem air graviti yang telah dibina sendiri oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. 

“Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk kampung sebelum ini adalah kekurangan air daripada tadahan air sedia ada berikutan kerosakan pada paip air tersedia yang kerap bocor, serta saiz tandak air yang kecil dan tidak dapat menampung keperluan penduduknya, ” ujarnya.

Mengulas lanjut  Zafri berkata, menerusi projek ini, tandak air lama yang terletak di kawasan bukit berhampiran kampung tersebut telah di naik taraf bagi tujuan mendapatkan kuantiti air yang lebih banyak dan tekanan air yang lebih tinggi sebelum ianya di salurkan ke Rumah Pam.

Katanya, projek ini menggunakan sistem graviti bagi tujuan penyaluran air dari Tandak Air melalui Polypipe sepanjang lebih kurang lima kilometer dari Muka Sauk (Intake) ke Rumah Pam.

“Air tersebut akan ditapis dan dirawat terlebih dahulu menggunakan Sistem Penapis Air Membran Sintetik Berskala Tinggi dan kemudiannya disimpan di dalam dua buah tangki simpanan berkapasiti 10,000 gelen yang disediakan. 

“Air terawat kemudiannya disalurkan terus ke paip utama untuk kegunaan harian penduduk kampung. Selain itu, turut dibina juga adalah pusat pengambilan air atau ‘stand-pipe’ di kawasan berhampiran bagi memudahkan penduduk mengambil air bersih untuk kegunaan harian,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya