KOTA KINABALU: Ketika hendak mengangkat mayat, hanya tuhan yang tahu betapa luluhnya hati melihat wajah rakan seperjuangan dibunuh kejam oleh kumpulan pengganas Sulu.
Itu antara detik menyedihkan yang dialami oleh anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarjan Jamaludin V.A Abdullah, 55, semasa bertugas mengeluarkan mangsa terkorban dari Kampung Sri Jaya, Simunul Semporna pada 10 tahun yang lalu.
Walaupun bukan petugas barisan hadapan yang bertempur dengan kumpulan pengganas Sulu, Jamaludin menyimpan sedikit kenangan bersama Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran ketika ditugaskan di Semporna sebelum serangan hendap berlaku pada 2 Mac 2013 sehingga mengorbankan enam anggota cawangan khas PDRM.
“Bayangkan mayat anggota keselamatan ditembak dan dikerat dengan kejam. Sambil memungut mayat, mata saya tengok sekeliling kerana bimbang jika ada penembak tepat.
“Semasa memungut satu mayat, anggota badan sudah terpisah. Apabila melihat wajah mangsa, hanya tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya pada masa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jamaludin yang bersara daripada PDRM pada 2014 itu berkata, semasa berada di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pasukan forensik ditugaskan mengangkat mayat yang ditemukan dalam sebuah kubur yang besar.
Semasa pertempuran berlaku pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo, pasukan forensik menemukan mayat musuh ditanam secara bertingkat dan disusun menggunakan papan lapis.
“Ketika hendak mengeluarkan mayat-mayat tersebut, saya berada di hadapan bersama enam anggota forensik lain.
“Semasa sedang meninjau kuburan bertingkat itu, saya dengar anggota kita menyebut ‘down 10-1, 10-2 dan apabila menoleh ke belakang, semua anggota keselamatan telah meniarap kemudian, saya pun cepat-cepat ikut tiarap.
“Kalau tidak silap jarak kami dan musuh pada masa itu kira-kira 60 meter sahaja dan saya boleh melihat daun-daun kelapa sawit bergerak-gerak kesan tembakan malah, ada daun sawit yang besar terputus terkena tembakan musuh,” katanya.

Menurut beliau, mereka tunduk selama hampir dua jam dan pasukan keselamatan saling berbalas tembakan dengan kumpulan pengganas Sulu.
Sebaik sahaja pertempuran tamat, Jamaludin berkata, mereka perlu mengeluarkan kesemua 12 mayat pengganas Sulu yang mati dalam kejadian berbalas tembakan itu.
Ketika melakukan pemeriksaan, kesemua mayat memakai tangkal yang mengandungi alat al-Quran yang ditulis secara terbalik dan diletakkan di bahagian alat sulit serta beberapa bahagian lain di badan.
Jelas beliau, pemeriksaan terhadap kesemua mayat kumpulan pengganas Sulu yang maut sama ada lelaki mahupun wanita memang memakai tangkal yang dipercayai untuk membuatkan mereka kebal. –UTUSAN










