PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, pencapaian Tan Sri Michelle Yeoh yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik bagi anugerah Oscars Kali Ke-95 hari ini amat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah buat tokoh budayawan dan seniwati kelahiran Ipoh, Perak itu selepas menjadi pelakon pertama Asia Tenggara memenangi anugerah berprestij itu.
“Ternyata pencapaian ini amat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan. Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kemenangan Michelle itu dinilai berdasarkan lakonan hebat beliau menerusi filem Everything Everywhere All At Once.
Filem tersebut turut mendominasi Oscars dengan menggondol tujuh anugerah termasuk pengarah terbaik, suntingan terbaik, pelakon pembantu terbaik dan lakon layar terbaik. – UTUSAN










