SHAH ALAM: Pemuda Pas negeri ini mencadangkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi diangkat sebagai calon Menteri Besr jika mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Bagaimanapun, situasi tersebut bakal mencetuskan polemik antara pimpinan PN dan komponennya selepas Parti Bersatu sebelum ini menyatakan mahu menjadikan Selangor serta Negeri Sembilan milik mereka sementara Pas terus memerintah di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Cadangan tersebut dinyatakan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang yakin dengan kebolehan dan kemampuan partinya mentadbir Selangor berdasarkan pengalaman pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri ketika bersama Pakatan Rakyat (PR).
“Kita akan buka dengan kemenangan sebenar, kita akan buktikan kemampuan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Selangor, sebelum ini anggota kita di Selangor pernah menjadi sebahagian daripada mereka dan membuktikan prestasi cemerlang dalam mentadbir Selangor.
“Kelangsungan kecemerlangan ini akan terus kita bawa, insya-Allah kita mahu lihat Menteri Besar Selangor akan datang ialah Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi. Saya harapkan seluruh pemuda, kita gembleng kekuatan dan kebersamaan, kali ini tidak ada kompromi lagi kepada Pakatan Harapan (PH), hanya tinggal batu nisan untuk mereka,” katanya berucap dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas Selangor, semalam.
Bagaimanapun, sebelum ini Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan tiga termasuk namanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Namun, beliau pernah menegaskan tanggungjawab diberi oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk memperkuatkan parti bagi berdepan PRN nanti. Malah, di Selangor juga Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu setuju supaya tiada poster boy di Selangor.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan ucapan Mohamed Sukri sebagai cadangan yang boleh dikemukakan oleh sesiapa, namun menjelaskan matlamat Pas untuk menguburkan UMNO-Barisan Nasional (BN) di kesemua negeri.
“Asasnya UMNO sudah pasti akan diberikan kerusi yang majoriti Melayu, sebab kalau tidak, mereka akan berebut pula dengan parti-parti dalam PH. Apa yang kita lihat adalah majoriti Melayu pada hari ini, mereka menolak BN di Kedah, Terengganu dan juga Kelantan.
“Apatah lagi apabila BN mengambil langkah untuk bersama atau menjalankan permuafakatan dengan PH. Jadi unjuran yang kita dapat lihat daripada PRK Padang Serai, sekiranya itu diambil kira, UMNO diberikan kerusi majoriti Melayu, hampir pasti mereka tidak dapat memenanginya,” tegasnya. – UTUSAN










