Pelajar maut motosikal rempuh lembu

Pelajar maut motosikal rempuh lembu

KEADAAN motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan, semalam. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 malam itu, mangsa, Mohamad Adam Haikal Mohamad Asri, 16, cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3 di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan  Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z dari arah Felda Chiku 3 menuju ke Felda Chiku 2.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar seekor lembu yang tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian kepala. 

“Mangsa kemudian dibantu oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Chiku 3, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.55 malam semasa menerima rawatan di klinik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo memberitahu, mayat remaja berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

“Sehubungan itu, penternak lembu dinasihatkan agar tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran pada waktu malam kerana dikhuatiri boleh mengundang bahaya sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya. 

“Penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan boleh didakwa oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya