KUALA LUMPUR: Bagi membolehkan masyarakat menikmati kadar perlindungan lebih berpatutan, kerajaan terus memperluas inisiatif Rahmah dalam sektor insurans.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, terdapat sebuah syarikat insurans sudah memberi respons positif mengenai perkara itu.
“Pertama yang beri maklum balas ialah syarikat Etiqa dan saya sudah meminta pegawai untuk mengadakan libat urus untuk kita melihat macam mana kita boleh kita jayakan inisiatif ini.
“Mungkin kita boleh tawarkan insurans Rahmah, perlindungan dari segi kenderaan, perumahan, hartanah dan seumpamanya. Respons Etiqa sangat positif, mereka menyambut baik pengumuman KPDN dan akan adakan libat urus dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Menu Rahmah di Parlimen hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut yakin akan ada berita baik daripada syarikat insurans lain terlibat dengan inisiatif Rahmah yang diperkenalkan kerajaan ini.
“Saya yakin dia macam menu juga, bila satu syarikat sudah mula ia akan jadi kesan domino. Kita tengok apa tawaran terbaik daripada Etiqa dan saya yakin insya-Allah syarikat insurans lain akan mengikut. Jadi kita tunggu berita baik,” jelasnya.
Mengulas lanjut inisiatif Rahmah dalam konsep perbankan, Salahuddin berkata, pihkanya telah meminta bantuan daripada menteri terlibat dan akan mengadakan libat urus mengenai perkara itu pada minggu hadapan. – UTUSAN










