Parlimen: MRSM berbayar tak guna wang kerajaan - Ahmad Zahid  - Utusan Malaysia

Parlimen: MRSM berbayar tak guna wang kerajaan – Ahmad Zahid 

MPP UiTM
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM berbayar itu.

“Dalam hal ini kita mesti keluar daripada kepompong dan berfikir tanpa kotak, bukan setakat luar kotak untuk melaksanakannya.

“Saya fikir ini pendekatan baru pihak Mara untuk menyantuni masalah dihadapi oleh mereka yang berminat tetapi tidak mempunyai peluang untuk anak-anak mereka masuk ke MRSM,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, permintaan untuk memasuki MRSM kini berada di tahap lebih 300 peratus daripada kemampuan dan hal itu perlu ditangani dengan kaedah di luar kotak.

“Kerajaan juga sudah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan melihat ramai pelajar yang berkelayakan untuk memasuki MRSM, tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa.

“Tanpa berkompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kita akan membuka ruang seluas-luasnya untuk anak golongan T20, M40 dan alumni memasuki MRSM,” katanya.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berhubung proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan memastikan pembinaan sekolah MRSM berbayar tidak akan didirikan di atas tanah rakyat miskin tetapi bekerjasama dengan beberapa pihak untuk melakukan kerjasama pintar.

“Saya juga akan berjumpa dengan pengerusi muafakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MRSM masing-masing supaya pelajar B40 tidak terbeban dengan kos tersembunyi,” katanya.

Semalam, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya MRSM berbayar diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.

Katanya, cadangan itu adalah hasil pandangan yang diperoleh daripada ramai pihak selain boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp.), malah, wujud permintaan oleh ibu bapa daripada golongan elit yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) bahawa penubuhan MRSM berbayar akan menggunakan dana kerajaan bagi tujuan perbelanjaan dan pembayaran gaji, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah berjaya menubuhkan Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab tanpa sebarang peruntukan kerajaan.

“Atas pengalaman peribadi, saya sudah membina Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab tanpa sesen pun peruntukan daripada kerajaan dan sudah beroperasi selama 11 tahun.

“Sekolah swasta yang saya sudah lakukan, inilah yang kita akan lakukan dengan MRSM. Jangan khuatir, pelaksanaannya kita akan pastikan tiada kompromi dari segi kualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.