Parlimen: Kementerian Pertahanan tidak 'lupakan' veteran ATM

Parlimen: Kementerian Pertahanan tidak ‘lupakan’ veteran ATM

MOHAMAD Hasan beramah mesra ketika bersama penerima Pingat Jasa Malaysia (OJM) pada Majlis Penganugerahan PJM kepada seramai 450 orang veteran ATM, balu serta wakil waris yang diadakan di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan, Seremban, 7 Mac lalu. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) komited memastikan kebajikan warga veteran ATM sama ada berpencen atau tidak berpencen terpelihara. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kementerian itu juga berhasrat untuk mengenal pasti lebih ramai anggota veteran ATM supaya bantuan boleh disampaikan.

“Antara bantuan yang disediakan adalah pemberian Bantuan Sara Hidup atas kadar RM300 sebulan yang bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 9,000 orang veteran sedang menerima bantuan ini dan 97 peratus merupakan veteran ATM tidak berpencen.

“Selaras dengan aspirasi kerajaan yang memberi perhatian terhadap peningkatan kos sara hidup, JHEV ATM akan melipat gandakan usaha untuk mengenal pasti veteran lain yang layak untuk menerima bantuan ini. 

“Kementerian Pertahanan memerlukan suntikan peruntukan kewangan tambahan sebanyak RM21.6 juta untuk memperluaskan bilangan penerima Bantuan Sara Hidup daripada 9,000 orang kepada 15,000 orang secara bersasar,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Tambah Mohamad, penyampaian bantuan akan memberi fokus kepada golongan veteran ATM dari kumpulan B40 dan 80 tahun ke atas.

“Veteran ATM berumur 80 tahun ke atas yang turut disenaraikan sebagai penerima Bantuan e-Kasih akan diberi keutamaan untuk menerima bantuan bulanan ini. Ini menunjukkan nasib warga veteran ATM tidak berpencen dalam kategori B40 sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

“Di samping itu, pelbagai penambahbaikan turut dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan golongan ini tidak terjejas akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN