Parlimen bakal bincang dengan NGO bentuk kokus isu Palestin  

Parlimen bakal bincang dengan NGO bentuk kokus isu Palestin  

ADLY Zahari (duduk tengah) memegang plakad selepas melancarkan Kempen Hari Al-Quds Sedunia 2023 di Cyberjaya, Selangor. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Parlimen Malaysia dijangka membentuk kokus atau jawatankuasa khas mengenai isu Palestin yang melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat.

Ketua Kokus Persahabatan Malaysia-Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sesi perbincangan bakal diadakan pada Rabu ini bagi pembentukan kokus khusus itu yang akan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Kata beliau, platform itu bagi menyelaras misi negara menyokong Palestin merdeka sejajar peranan Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN 2024 dan menggantikan giliran disandang Indonesia pada tahun depan.

“Kita amat berharap pada pertemuan itu nanti, semua NGO tempatan akan tampil memberikan pandangan bernas untuk diteliti oleh semua Ahli Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Pelancaran Kempen Hari Al-Quds Sedunia 2012 dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, di sini hari ini.

Pada program berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang menerima resolusi diserahkan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Azmi Abdul Hamid.

Hari Al-Quds Sedunia mula diraikan sejak 1979 lalu setiap hari Jumaat minggu terakhir pada bulan Ramadan bagi menzahirkan tanda solidariti antarabangsa kepada Palestin.

Dalam pada itu, Azmi memaklumkan seramai lapan cendekiawan Islam terkenal Palestin akan datang ke Malaysia pada Sabtu depan untuk pelbagai program selama empat hari bagi membincangkan isu penubuhan kedutaan Malaysia di Palestin secara formal dan mengukuhkan kedudukan imej negara dari segi isu diplomatik.

“Sebelum ini Wisma Putra cadang buka canseri di Baitulmaqdis tetapi dibantah rejim Israel dan kita berharap mungkin diwujudkan ala kedutaan mini di Amman, Jordan,” katanya.

Pada 2019 lalu kerajaan ada mengumumkan rancangan untuk membuka misi diplomatik bagi Palestin di Jordan, namun usaha itu tidak dapat dilaksanakan atas pelbagai faktor.

Palestin sebaliknya ada canseri di Kuala Lumpur yang asalnya pejabat wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin sejak 1981 sebelum dinaik taraf sebagai kedutaan pada 1989 lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya