NR-REE: Kerajaan negeri berhak beri lesen

NR-REE di Hutan Simpan Bukit Enggang: Kerajaan Negeri Kedah berhak beri lesen

Hairan jika MB Kedah tidak mengetahui mengenai pelaburan MBI negeri itu dalam REE di Sik. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Kedah tidak melakukan kesalahan dalam memberikan kelulusan untuk melaksanakan kegiatan pengambilan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Ini kerana aktiviti itu adalah di bawah kuasa pihak berkuasa negeri (PBN) melalui Enakmen Mineral Negeri masing-masing untuk memberikan kelulusan untuk aktiviti mencari gali dan penjelajahan.

Dalam maklum balas Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) kepada Utusan Malaysia, terdapat beberapa kelulusan dalam bidang perlombongan yang dikawal selia oleh PBN.

Antaranya, kata kementerian itu, ia melibatkan Lesen Mencari Gali, Lesen Penjelajahan, Pajakan Melombong dan Lesen Melombong Tuan Punya.

“Manakala, bidang kuasa di pihak Kerajaan Persekutuan pula antaranya mengawal selia pelaksanaan aktiviti perlombongan melalui Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong.

“(Ini termasuk pemberian) Lesen Mineral di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya di sini semalam.

Menurut NRECC, pihaknya melalui JMG, bagaimanapun tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan bagi tujuan aktiviti perlombongan NR-REE di Kedah khususnya di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Namun, katanya, kementerian tidak dapat menghalang mana-mana PBN memberikan kelulusan untuk aktiviti mencarigali dan penjelajahan memandangkan ia adalah di bawah kuasa PBN melalui Enakmen Mineral Negeri masing-masing.

Pada masa sama, NRECC memandang serius kegiatan perlombongan NR-REE secara haram yang berlaku di beberapa buah negeri terutamanya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Siasatan komprehensif

Untuk itu, NRECC menggesa pihak yang bertanggungjawab melakukan kegiatan perlombongan haram ini dikenakan tindakan sewajarnya mengikut kepada akta dan perundangan sedia ada.

“Kementerian berharap agar PBN dapat menjalankan siasatan secara komprehensif serta meningkatkan kawalan terhadap kegiatan perlombongan haram, ekoran kegiatan perlombongan NR-REE secara haram berulang kali berlaku di kawasan sama.

“Ia seperti di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah dan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, Pahang,” katanya.

Baru-baru ini, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Jariah Malaysia dan Gabungan Aman Sejahtera menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri berhubung kecurian dan salah guna kuasa Kerajaan Negeri Kedah berkaitan REE.

Mereka meminta Kerajaan Persekutuan menyiasat tindakan Kerajaan Negeri Kedah meluluskan lesen kepada sebuah syarikat untuk melaksanakan kegiatan pengambilan NR-REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Menurut Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid berkata, pemberian lesen bagi pengeluaran mineral adalah membelakangi akta dan undang-undang negara kerana ia merupakan bidang kuasa di bawah Kerajaan Pusat dan bukannya kerajaan negeri.

Beliau berkata, terdapat banyak keraguan berbangkit berhubung kegiatan tersebut lebih-lebih lagi apabila sebarang kerja pengambilan, cari gali, atau pengeluaran hasil mineral negara sepatutnya terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Sebelum ini terdapat dua kali kes kecurian REE berlaku yang dijangka mencecah ratusan juta ringgit berdasarkan tempoh kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat swasta pada Disember 2020 hingga tangkapan pertama pada September 2022.

Memorandum tersebut bagi meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan dan perhatian khusus berkenaan masalah kecurian khazanah negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN