PETALING JAYA: ‘Bukan tak cukup makan tetapi hidap tiroid’.
Itu penjelasan penyanyi, Yasin Sulaiman mengenai susuk tubuhnya yang dilihat kurus ketika dibawa untuk sebutan kes dadahnya di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
“Nampak saya kurus sangat tapi saya sihat, dari berat badan 66 kilogram (kg) sekarang turun kepada 48kg.
“Di penjara makan cukup. Di sana (ada) banduan-banduan gemuk, jadi tiada isu kata saya tidak cukup makan, cuma badan saya saja tidak gemuk,” katanya sambil berseloroh.
Tambahnya, berat badannya menyusut 18kg sejak ditahan di penjara pada tahun lalu.
Penyanyi Mimpi Laila itu memaklumkan pihak penjara juga menyediakan ubat bagi merawat penyakit tersebut.
Berhubung kes dadah yang dihadapinya, peguam bela, Ariff Azami Hussein memaklumkan representasi ketiga mereka ditolak Jabatan Peguam Negara.
“Pihak kami terima jawapan berhubung representasi ketiga itu pada 13 Mac (Isnin) dan representasi itu ditolak. Justeru pihak kami akan mengemukakan representasi keempat dalam masa terdekat,” kata peguam itu.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asnawi Abu Hanipah mengesahkan perkara itu dan tidak membantah untuk perbicaraan yang ditetapkan pada semalam dan hari ini dilapangkan.
Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menetapkan 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini untuk perbicaraan kes itu.
Pihak pendakwaan dijangka memanggil 10 saksi untuk memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang, pada 24 Mac tahun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.
Yasin juga didakwa atas pertuduhan menanam 17 pokok kanabis pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Bagi dakwaan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Yasin turut didakwa atas pertuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’, pukul 11.05 malam, pada tarikh sama. – UTUSAN