DUNGUN: Seorang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang, Jerangau di sini yang menghidap penyakit jantung kronik tetap ceria dan bersemangat hadir ke sekolah seawal pukul 7 pagi semalam.
Muhammad Danial Asyraf Aziz, 9, yang mempunyai masalah jantung serta tidak mempunyai limpa sejak lahir bangun seawal pukul 6 pagi untuk bersiap ke sekolah.
Ibunya, Suzira Abdul Rashid, 36, berkata, penyakit kronik yang dihidapi anak sulung daripada empat adik beradik itu menyebabkan dia tidak dapat melakukan aktiviti lasak seperti kanak-kanak normal.
“Antibodi Danial (Muhammad Danial Asyraf) sangat lemah dan dia cepat letih menyebabkannya tidak dapat mengikuti aktiviti sukan serta tidak boleh berlari seperti rakan-rakannya kerana mudah lelah dan menjadi kebiruan sekiranya penat.
“Danial juga tidak boleh makan makanan yang terlalu pedas dan masam,” katanya ketika ditemui di SK Lintang, Jerangau semalam.
Suzira berkata, bagaimanapun, dia bersyukur guru-guru memberi perhatian penuh dan memantau keadaan anaknya ketika di sekolah.
“Kalau dia penat dan pening-pening, cikgu menghubungi saya dan minta jemput dia untuk pulang berehat,” ujarnya. – UTUSAN










