KUALA LUMPUR: Selepas didakwa atas enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini semalam, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa lagi di Mahkamah Shah Alam, Isnin ini (13 Mac).
Pertuduhan itu akan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Difahamkan, jumlah terlibat dalam pertuduhan tersebut ialah RM5 juta.
Pada prosiding semalam, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti tersebut.
Pada 21 Februari lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM7 juta dan meminta rasuah sebanyak RM232 juta berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Shah Alam pada penghujung Februari lalu atas lima pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM4.1 juta. – UTUSAN










