MISA, Renaco Marine jalin kerjasama lahir tenaga mahir - Utusan Malaysia

MISA, Renaco Marine jalin kerjasama lahir tenaga mahir

SITI Patimah Hussin (dua, kiri) dan Ahmad Firdhaus Ramlan bertukar dokumen MoU dalam menawarkan latihan kepada belia dalam bidang maritim, minyak dan gas pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik di pusat latihan Ranaco Marine di Kemaman, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Malaysia Industry Skills Academy (MISA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pusat latihan Ranaco Marine Sdn. Bhd. (Renaco Marine) untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang minyak dan gas di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MISA, Siti Patimah Hussin berkata, kerjasama strategik tersebut turut menjadi platform untuk golongan muda memilih kerjaya dalam bidang maritim, minyak dan gas.

“MISA memilih untuk bekerjasama dengan pusat latihan Ranaco Marine kerana pusat latihan ini telah bertapak selama 39 tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam melahirkan tenaga kerja dalam bidang tersebut.

“Kita percaya, dengan kerjasama ini akan dapat membuka peluang kerjaya untuk golongan muda dan kami telah bekerjasama sejak tahun 2019 yang mana MISA menjadi platform untuk memperkenalkan pusat latihan ini secara lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Marine, Ahmad Firdhaus Ramlan di pusat latihan Ranaco Marine di sini, hari ini.

Siti Patimah berkata, MISA menjadi pemudah cara untuk pelajar yang berminat menyertai kursus yang disediakan dengan menyediakan taklimat secara percuma, sesi temuduga dan menapis pelajar yang berkelayakan dan menguruskan sesi pendaftaran masuk ke pusat latihan itu.

Sementara itu, Ahmad Firdhaus berkata, menerusi kerjasama itu, lima kursus jangka pendek ditawarkan di peringkat sijil iaitu Kursus Pipe Gas Insulation, Pipe and Rigger Fitter, Deck Rating, Engine Rating dan Kulinari.

“Kita menyasarkan seramai 550 pelajar untuk kemasukan ke pusat latihan Ranaco Marine tahun ini bagi mengikuti lima kursus yang ditawarkan.

“Tempoh pengajian bagi setiap kursus tersebut pula adalah selama tiga hingga empat bulan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN