‘Menggeletar satu badan bertembung gajah liar besar’ - Utusan Malaysia

‘Menggeletar satu badan bertembung gajah liar besar’

TANGKAP layar kemunculan kumpulan gajah liar di laluan antara Felda Kota Gelanggi menuju Felda Lepar Utara di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang penduduk Felda Lepar Utara di sini terkejut apabila terserempak dengan sekumpulan gajah liar bersaiz lebih tinggi daripada kereta jenis Proton Ertiga dipandunya ketika dalam perjalanan pulang ke tanah rancangan itu dari Kuantan, beberapa hari lalu.

Kemunculan gajah liar terbabit sempat dirakam penduduk terbabit, Intan Liana Jamaludin, 48, menerusi rakaman video ‘dashcam’ sehingga ia mula tular di aplikasi WhatsApp.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Intan Liana berkata, kejadian berlaku di laluan antara Felda Kota Gelanggi menuju Felda Lepar Utara pada Sabtu lalu yang mana ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Kuantan bersama tiga rakannya.

“Ketika itu sekitar pukul 11.30 malam saya sedang memandu. Pada awalnya saya tidak nampak kelibat gajah itu kerana fokus kepada pemanduan berikutan jalan gelap dan berlubang.

“Kami konvoi dua buah kereta. Kereta kawan di depan. Ketika itu kawan yang bawa kereta di depan telefon beritahu suruh bawa kereta laju sebab ada gajah.

“Lepas itu, kawan tiba-tiba tepuk paha saya suruh laju. Rupanya ada gajah. Pada mulanya saya sangka telinga gajah itu daun kering besar, rupanya gajah betul-betul sebelah kereta,” katanya di sini semalam.

Intan Liana berkata, sebelum pulang, dia sudah dimaklumkan oleh rakan di kampung supaya berhati-hati berikutan kemun­culan gajah berkenaan yang mula kecoh diperkatakan penduduk setempat.

“Saya ada dapat mesej Whats­App dari orang kampung be­ritahu supaya berhati-hati ketika pulang kerana ada penduduk nampak gajah di kawasan hutan berhampiran laluan itu.

“Saya memang tidak terfikir akan bertembung dengan gajah pada malam itu. Tidak sangka selama lebih 30 tahun, itu kali pertama saya jumpa gajah lebih tinggi daripada Proton Ertiga yang saya pandu,” katanya.

Menurutnya, kejadian terse­rempak kumpulan gajah liar itu membuatkan dia fobia untuk memandu kereta terutama ketika malam.

“Kalau boleh memang tak nak terserempak dengan kumpulan gajah liar ini. Memang takut dan debaran itu masih terasa sehingga kini. Memang menggeletar seluruh badan,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Norodzaime Affandy Mohd. Rodzi, 36, pula berkata, kali terakhir kejadian gajah liar dilihat berkeliaran di laluan itu adalah sekitar lebih 30 tahun lalu.

“Lepas itu memang tiada gajah yang dilihat berkeliaran di laluan ini, namun tidak sangka ia muncul kembali malah mula menimbulkan rasa bimbang orang ramai yang menggunakan laluan itu terutama pada waktu malam.

“Saya berharap agar orang ramai berhati-hati ketika menggunakan laluan ini kerana saya dapat lihat yang terbaru ketika keluar pagi Isnin lalu masih terdapat kesan gajah di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin ketika dihubungi memberitahu setakat semalam, pihak Perhilitan tidak menerima sebarang aduan dan maklumat berkaitan kejadian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan berkaitan perkara terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya