Mayat nelayan lemas ditemukan terapung di muara sungai - Utusan Malaysia

Mayat nelayan lemas ditemukan terapung di muara sungai

MAYAT mangsa yang ditemukan lemas dibawa ke PKTK bagi tujuan pengecaman selepas ditemukan terapung di kawasan muara sungai Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, Perlis, hari ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mayat seorang nelayan yang terjatuh ke dalam sungai semalam, ditemukan terapung di kawasan muara sungai Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis di sini hari ini.

Mangsa, Mohd Amin Rahim, 28, ditemukan kira-kira pukul 7.40 pagi oleh penduduk setempat.

Dalam kejadian semalam, bot yang dipandu mangsa melanggar sebuah bot lain lalu terkena libasan batang pemegang kemudi enjin dan menyebabkannya hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, susulan kejadian itu, satu pasukan menyelamat telah ditubuhkan semalam bagi mengesan mangsa.

“Mayat mangsa telah ditemukan terapung oleh orang awam di muara Sungai Kampung Seberang Tok Pi pada pagi tadi dan dibawa ke pos kawalan tempat kejadian (PKTK) bagi tujuan pengecaman,” katanya.

Antara agensi yang terlibat dalam pencarian itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas mayat berkenaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa dan polis turut menemukan kesan darah pada bahagian hidung serta telinga.

Katanya, bot yang dipandu mangsa juga tidak mengalami sebarang kerosakan akibat daripada pelanggaran tersebut.

“Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut ditamatkan pada pukul 9 pagi tadi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.