Mati ditembak polis: Mahkamah pinda ganti rugi RM1.5j kepada RM630,000 - Utusan Malaysia

Mati ditembak polis: Mahkamah pinda ganti rugi RM1.5j kepada RM630,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi meminda jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga tiga remaja yang ditembak mati oleh polis, 13 tahun lalu daripada RM1.5 juta kepada RM630,000.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas mendapati rayuan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan polis mempunyai merit.

Turut bersidang pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian ialah Hakim Datuk S. Nantha Balan dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Saman tersebut difailkan oleh keluarga Muhammad Shamil Shapiei, Mohd. Hairul Nizam Tuah dan Muhamad Hanafi Omar pada 12 November 2013 dengan menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia dan beberapa pegawai polis sebagai defendan.

Pada prosiding hari ini, panel terbabit mengetepikan ganti rugi am sebanyak RM100,000 yang sebelum ini diberikan kepada setiap keluarga dan menggantikannya dengan ganti rugi dukacita (bereavement) sebanyak RM10,000 bagi setiap keluarga.

Mahkamah turut mengetepikan ganti rugi sebanyak RM100,000 bagi setiap ganti rugi teruk dan tuntutan estet mengikut Seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Sehubungan itu, ketiga-tiga keluarga mangsa masing-masing menerima sebanyak RM210,000.

Bagaimanapun, keluarga Mohd. Hairul Nizam menerima tambahan ganti rugi sebanyak RM11,200 bagi ganti rugi tanggungan selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan terdahulu.

Menurut pernyataan tuntutan, keluarga mangsa selaku plaintif menyatakan ketiga-tiga remaja itu meninggal dunia akibat tindakan polis dan tanpa justifikasi.

Muhammad Shamil Hafiz, 15; Mohd. Hairul Nizam, 22, dan Muhammad Hanafi, 21, mati ditembak anggota polis di Glenmarie, Shah Alam pada 13 November 2010.

Pada 1 September 2016, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian ketiga-tiga remaja tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.