Masjid sepatutnya jadi tempat menyatukan umat Islam - Utusan Malaysia

Masjid sepatutnya jadi tempat menyatukan umat Islam

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Institusi masjid sepatutnya menjadi tempat untuk menyatukan umat Islam menerusi solat berjemaah, nasihat, tazkirah dan kuliah daripada asatizah serta ilmuwan yang ikhlas dan bertanggungjawab.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pengalaman lalu telah menunjukkan impak buruk daripada tindakan menggunakan masjid sebagai gelanggang bagi ahli-ahli politik mencari pengaruh untuk parti masing-masing.

Menurut beliau, tindakan menjadikan masjid sebagai medan politik sering menimbulkan perbalahan dan perpecahan sesama umat Islam, sedangkan agama Islam menyeru kepada perpaduan umat bagi memastikan kekuatan dan ketinggian kedudukan mereka.

”Memang tidak dinafikan di dalam Islam ada politik, tetapi politik dalam pengertian memberi pandangan dan idea bagi mengatur hal ehwal negara untuk membina kehidupan umat Islam supaya mencapai kemajuan dunia serta akhirat.

”Matlamat ini hanya mampu direalisasikan menerusi musyawarah dan pertukaran fikiran serta kesediaan kesemua pihak bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa masjid tidak wajar dijadikan medan yang boleh mencetuskan jurang berikutan perbezaan pandangan serta dendam politik dan akhirnya menyebabkan persengketaan berpanjangan sesama umat Islam.

Baginda bertitah, masjid perlu dijadikan asas dan medium utama masyarakat Islam untuk bersepakat tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, pandangan dan fahaman politik masing-masing.

Tambah Wan Salim, politik kepartian hanya memecahbelahkan umat Islam di negara ini dan melemahkan kedudukan mereka.

”Oleh itu, apa jua faktor yang menyumbang ke arah natijah sedemikian perlulah dihalang, ini termasuk tindakan menggunakan masjid untuk tujuan politik kepartian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya