Malaysia kesal trend Islamofobia global masih meningkat

Malaysia kesal trend Islamofobia global masih meningkat

TANGKAP layar poster sambutan Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia diwartakan Pertubuhan Bangsa Bersatu setiap 15 Mac bermula 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meluahkan perasaan sedih kerana masih ada lagi kes Muslim di negara tertentu dihalang mengamalkan ajaran Islam.

Menerusi kenyataan bersempena sambutan Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia yang diraikan setiap 15 Mac, sikap negatif itu ujarnya, menyekat hak kebebasan umat Islam.

“Malaysia amat kesal kerana perasaan syak wasangka, diskriminasi dan sikap kebencian terhadap penganut Islam sejagat telah dilapor meningkat kepada kadar ‘wabak’,” jelasnya.

Meskipun tidak menyatakan kes secara spesifik, beliau dipercayai merujuk insiden aktivis politik berhaluan keras anti-Islam biadab membakar al-Quran di Sweden awal Januari lalu kemudian disusuli tindakan seorang tokoh Belanda mengoyak kitab suci tersebut sebelum dibakarnya secara terbuka di hadapan Parlimen negara Eropah berkenaan.

Pada Jun tahun lepas pula, dua pemimpin kanan parti pemerintah India memperlekehkan Nabi Muhammad SAW ketika wawancara melalui siaran langsung televisyen negara itu.

Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia diwartakan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) setiap 15 Mac bermula tahun lalu setelah resolusi khas diluluskan badan dunia tersebut.

Draf usul itu ditaja oleh 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Malaysia selain tujuh negara bukan ahli antaranya China, Cuba, Russia dan Venezuela.

Tarikh 15 Mac dipilih sempena memperingati insiden serangan berdarah ke atas jemaah Muslim semasa solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 lalu yang menyaksikan seramai 51 orang mati syahid manakala 40 jemaah lain cedera termasuk rakyat Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, Zambry berkata, Islam ialah agama berlandaskan keamanan dengan ajarannya menggalakkan penerimaan harmoni kepelbagaian komuniti sejagat.

“Manifestasi tindakan Islamofobia pula boleh menjurus ke arah ekstremisme dan agenda itu seterusnya dibimbangi mampu menjejas usaha keamanan warga dunia,” tambahnya.

Justeru, masyarakat global tegasnya, perlu melihat isu Islamofobia melangkaui retorik dan mengenal pasti langkah bagi menangani situasi serta sikap yang menyumbang gejala itu.

Kejayaan negara ini kata beliau, dalam memupuk keharmonian dan diperkukuhkan lagi menerusi konsep Malaysia Madani, boleh dijadikan rujukan serta panduan seluruh dunia, malah Malaysia bersedia menyumbang usaha efektif membanteras Islamofobia dan segala perlakuan kebencian terhadap para penganut agama lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.