Mahkamah nasihat Diana Danielle - Farid Kamil berdamai

Mahkamah nasihat Diana Danielle – Farid Kamil berdamai

FARID KAMIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasangan pelakon, Diana Danielle dan Farid Kamil dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini untuk berdamai.

Saranan itu dibuat Hakim Syarie, Shukran Yusuf sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana Danielle atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili pelakon utama filem Anwar, The Untold Story.

“Hakim ada menyatakan, benda yang boleh selesai secara baik, cubalah mengislahkan (usaha untuk memperbaiki keadaan),”jelasnya kepada pihak media.

Pada prosiding hari ini, pihak media tidak dibenarkan untuk mengikuti prosiding terbabit yang dijalankan di dewan terbuka sebaliknya hanya diminta menunggu di ruangan menunggu di luar dewan mahkamah.

Sementara itu, menjawab pertanyaan mengenai prosiding hari ini, Fakhrul Azman memaklumkan, Farid Kamil telah melantik kakaknya sebagai wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan diadakan di Pejabat Agama Shah Alam.

“Pendengaran di mahkamah hari ini mengenai lantikan wakil JKP di mana Farid melantik kakaknya. Proses JKP (akan diadakan) di pejabat agama Shah Alam, tarikhnya pasangan itu akan menentukan. Seterusnya proses hakam (kalau JKP tidak mencapai persetujuan) dan mahkamah akan menentukannya,” katanya.

“Farid ada cuba pujuk tetapi Diana macam ‘keras’ sikit (enggan dipujuk),” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir ketika ditemui selepas tamat prosiding turut memaklumkan mahkamah telah menetapkan 30 Mei ini untuk mendapatkan laporan JKP.

“Pada tarikh tersebut mahkamah akan membaca laporan JKP. JKP akan dipengerusikan oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam (JAIS),”katanya.

Diana memfailkan permohonan cerai itu pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Alasan yang diberikan oleh pelakon itu dalam permohonannya ialah tiada persefahaman, telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 November 2012 di suatu majlis yang diadakan di Hotel Flamingo by the Lake dengan mas kahwin RM10,000.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya